Kereta bertembung dengan lori, dua lelaki maut di Sibu

SIBU: Dua lelaki warga tempatan disahkan maut setelah kenderaan yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori membawa muatan kayu di Jalan Salim-Stabau, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, pihaknya ada menerima laporan daripada orang awam mengenai kejadian yang berlaku sekitar jam 9.30.

Menurutnya, kedua-dua mangsa dikenali sebagai Yong Khee Fong, 68, dan Mok Hock Ming berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati sebuah kenderaan jenis Honda Civic yang dinaiki mangsa bergerak dari arah Durin menuju ke pusat bandar Sibu.

“Kejadian berlaku ketika pemandu kenderaan terbabit cuba memotong kenderaan di hadapan lalu bertembung dengan jentera berat yang berhenti di jalan bertentangan,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.

HANCUR…Bahagian hadapan kenderaan yang dipandu mangsa hancur akibat bertembung dengan lori

Katanya, akibat daripada itu kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia serta merta di lokasi kejadian.

Dalam pada itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan mengesahkan kedua-dua mangsa masih tersepit di tempat duduk hadapan kenderaan terbabit.

“Pasukan telah bertindak dahulu mengeluarkan mangsa di bahagian penumpang hadapan sebelum memotong pintu hadapan di bahagian pemandu untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia setelah diperiksa oleh pasukan pegawai perubatan yang hadir ke lokasi semasa kejadian,” jelasnya.

Tambahnya, operasi menyelamat melibatkan seramai 10 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.12 malam.

Susulan itu, Alexson menambah, pemandu jentera berat, 58, dibawa ke Hospital Sibu untuk menjalani pemeriksaan darah.

Kes kini masih dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suara Sarawak