SIBU: Seorang wanita berusia 57 tahun mengalami detik cemas selepas kereta dipandunya terbabas di Jalan Alan, di sini, kira-kira jam 1.28 pagi tadi.
Mangsa ketika kejadian gagal keluar daripada kenderaan selepas kereta terbabit terbabas dan tersangkut di dalam sebuah longkang parit yang terletak di tepi jalan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral Donny Sumping berkata, orang awam yang menyaksikan kejadian membantu mengeluarkan mangsa sebelum ketibaan pasukan bomba tiba di lokasi kejadian.
“Mangsa telah diberikan rawatan awal selepas mengadu sakit di bahagian rusuk dan dada.
“Sejurus kemudian, mangsa dibawa ke Hospital Sibu oleh anggota unit kecemasan (EMRS),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, seramai 11 anggota operasi bomba telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi memastikan keadaan selamat.