Kereta Proton Saga terbalik selepas rempuh Myvi

KUCHING: Seorang pekerja swasta mengalami kecederaan di bahagian tangan dan muka setelah kenderaan yang dipandunya terbalik dalam kejadian kemalangan jalan raya di Jalan Pristana Demak, semalam.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika kenderaan yang dipandu mangsa cuba memotong sebuah kenderaan Myvi di hadapannya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Proton Saga dan Myvi berlaku sekitar jam 9 malam.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika kedua-dua kenderaan tersebut bergerak dari arah Demak menghala ke Kuching di lokasi.

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kenderaan jenis Proton Saga cuba memotong Myvi di hadapan lalu terlanggar bahagian sisi kanan kenderaan Myvi.

“Rempuhan menyebabkan kereta Proton Saga itu terbalik di atas jalan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, akibat daripada kejadian, pemandu Proton Saga, 24, mengalami  kecederaan calar dan luka di bahagian tangan dan muka.

Susulan itu, katanya, mangsa telah dibawa dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ujarnya, kes kini masih dalam siasatan di bawah Peraturan 6(2) LN166/59.