Kerja keras bangunkan kawasan

SIMANGGANG: Tidak seperti pembangkang, pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) bukan hanya kelihatan pada musim pilihan raya, sebaliknya bekerja keras sepanjang masa untuk membangunkan kawasan yang diwakili.
Adun Simanggang Datuk Francis Harden Hollis memberitahu, Kerajaan GPS tidak menoleh ke belakang dalam membangunkan kawasan yang diwakili.
“Malah, perancangan membangunkan negeri bukan dibuat ketika tibanya musim pilihan raya. “Tiada pilihan raya pun kita tetap bekerja kerana tanggungjawab yang digalas adalah beterusan. “Kita amat memberi penekanan kepada projek rakyat yang diperlukan oleh semua untuk kesejahteraan bersama,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Simanggang berkata demikian semasa Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja SUPP Cawangan Simanggang di Bilik Mesyuarat Pusat Khidmat Adun, baru-baru ini.
Beliau menuntut kerjasama dalam kalangan ahli bagi menangkis dakwaan sekali gus meleraikan isu yang dibangkitkan oleh pembangkang.
“Mereka sentiasa mencari kelemahan GPS amnya dan SUPP khususnya. “Justeru, ahli SUPP Cawangan Simanggang digesa memberikan komitmen padu dalam menyumbang bakti agar keberadaan SUPP sentiasa dihormati dan dikenang sebagai sebuah parti yang relevan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang memerlukan,” ujarnya.
Menyentuh isu pelantikan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK), Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti itu menegaskan proses pelantikan mereka perlu melalui persetujuan wakil rakyat GPS.
“Bagi kawasan yang diwakili wakil rakyat pembangkang, pemimpin atasan GPS akan melantik wakil rakyat GPS untuk menentukannya menerusi mekanisme sedia ada ketika mesyuarat panel pemilihan KMKK walaupun pelantikan tersebut telah dipersetujui di peringkat komuniti.
“Maka, mana-mana calon KMKK yang dicadangkan dan telah membelakangkan wakil rakyat GPS tidak akan dipertimbangkan kerana ini dibuat tanpa restu daripada wakil rakyat GPS.
“Walaupun, seseorang itu didapati layak. Kerana, tiada jalan pintas yang boleh menjadikan seseorang itu dilantik ke jawatan KMKK,” jelasnya.
Turut dibincangkan, program tahunan bersempena sambutan Tahun Baharu 2021 dan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba tidak lama lagi. Selain perancangan mengukuhkan persediaan rapi menghadapi pilihan raya negeri yang mungkin diadakan pada bila-bila masa.