Kerja-kerja mencari dan menyelamat Mohd Ainul diteruskan hari ini

BINTULU: Pihak bomba meneruskan kerja-kerja mencari dan menyelamat seorang lelaki berusia 23 tahun berasal dari Kampung Hilir Kuala Tatau yang dikhuatiri hilang di laut di Kuala Tatau, Bintulu pada jam 11 malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada IPD Tatau dan mengerahkan empat anggota yang diketuai oleh Mazlan Tanin ke lokasi kejadian.
Menurut maklumat diterima daripada keluarga mangsa yang dikenali sebagai Mohd Ainul Median turun ke laut menangkap ikan bersama-sama dua rakannya menggunakan tiga bot berasingan pada Khamis.
“Pada jam 4 petang, kawan mangsa telah sampai di jeti tetapi mangsa masih belum sampai sehingga laporan dibuat pada jam 10.30 malam semalam.
“Keluarga mangsa bersama penduduk kampung keluar ke laut untuk mencari mangsa dan menjumpai bot mangsa terdampar di tepi pantai dalam keadaan baik serta enjin masih boleh dihidupkan,” katanya.
Tambahnya, mangsa dikhuatiri tercampak ke laut akibat dipukul ombak.
Pihak bomba meneruskan operasi mencari dan menyelamat mangsa pada jam 8 pagi hari ini.

Suara Sarawak