Kerjasama FAS, SSC bangunkan bola sepak

PERSATUAN  Bola Sepak Sarawak (FAS) meneruskan kerjasama dengan Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) yang lebih tertumpu kepada program pembangunan bola sepak pelbagai peringkat di negeri ni.
Dalam satu kenyataan semalam, FAS menjelaskan baru-baru ini mereka telah berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif SSC, Dr Ong Kong Swee dan Ketua Bahagian Pembangunan Sukan SSC, Ahmad Rodzli Hashim.
FAS diwakili Timbalan Presiden, Mohamad Saif Jubaidi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bola Sepak FAS bersama-sama beberapa exco lain.
Fokus perbincangan awal kedua-dua pihak tertumpu kepada program pembangunan PSS seperti Program Pemulaan (PP), Program Cemerlang (PC) dan Program Elit (PE) di seluruh Sarawak.
Pusat pembangunan ini dikendalikan sepenuhnya oleh PSS, serta mengambil kira pandangan daripada pihak FAS terutama dari segi penyediaan jurulatih
Sementara itu, untuk Program Kenyalang (PK) pula akan diambil alih FAS dalam usaha memperkasakan bakat pemain selepas menyertai pasukan pelapis (Piala Belia & Piala Presiden/Sukma).
Dalam perkembangan berkaitan FAS juga telah melantik jurulatih berpengalaman, David Usop sebagai Pengarah Teknikal.