ISKANDAR PUTERI: Kerjasama Malaysia dengan syarikat produksi Australia dan Korea Selatan dijangka membuka lebih banyak peluang kepada industri perfileman tempatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Malaysia Studios, Rashid Karim, berkata perjanjian co-production filem rasmi dengan Australia membolehkan akses pembiayaan kerajaan dan pengiktirafan kandungan tempatan.
Beliau menjelaskan kerjasama dengan Korea Selatan pula berpotensi memberi manfaat pemindahan kepakaran dan akses pasaran serantau memandangkan industri kandungan kreatif negara itu bernilai lebih US$113 bilion.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebelum ini menyatakan kerjasama produksi diterajui OMG Studios bersama Madman Entertainment Australia dan Greenpatch Studio Korea Selatan bernilai keseluruhan US$22 juta akan dilaksanakan dalam tempoh dua tahun.
Rashid turut menyatakan kira-kira 60 peratus projek IMS tahun ini datang daripada produksi antarabangsa terutamanya Amerika Syarikat, Singapura dan China, didorong kos kompetitif serta insentif Film in Malaysia Incentive sebagaimana laporan Bernama.



