Kerjasama mantap halang kluster Mador merebak

SARIKEI:  Pendekatan bersepadu yang dilaksanakan Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei  menjadi strategi mampan dalam usaha mengawal dan membendung  kluster Mador daripada terus merebak.
Pegawai Kesihatan Bahagian Sarikei, Dr Emmanuel Joseph Fong berkata,  selain empat strategi utama, usaha itu juga mendapat sokongan padu pelbagai agensi di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sarikei dan Daerah Meradong
Malah katanya, pasukan Pejabat Kesihatan melakukan pengesanan secara agresif  selepas daerah Meradong dikesan mempunyai kes positif Covid 19, pada 29 Disember tahun lalu.
“Kluster Mador mendapat perhatian ramai apabila menjadi kes pertama membabitkan rumah panjang di Sarawak sebelum Pasai Siong.
“Sejurus mendapat makluman mengenainya, kita memasukkan pesakit  ke dalam hospital sebelum mencari dan mengesan keluarga yang sepintu (duduk bersama) untuk kuarantin di stesen kuarantin kita,” katanya kepada media dalam sidang akhbar, hari ini.
Beliau berkata,  Polis DiRaja Malaysia,  Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) membantu meningkatkan pemantauan dengan membina pos kawalan keselamatan.
Pada masa yang sama katanya, pasukan Bomba dan Penyelamat Bintangor melakukan operasi nyah kuman manakala, Jabatan Kebajikan  Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan makanan kepada penduduk yang dikuarantin di rumah panjang terbabit.
“Kerjasama yang cukup baik ini juga membantu usaha kita melakukan pengesanan secara besar-besaran di kawasan tumpuan awam di bandar Bintangor.

Suara Sarawak