
KUCHING: Kerjasama antara parti politik di Sarawak dan Sabah penting dalam usaha untuk membawa sekali gus melaksanakan isu berkaitan dengan kedua-dua negeri berkenaan.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Profesor Dr Arnold Puyok berkata, sekiranya Sarawak dan Sabah mampu mengetepikan faktor politik, maka satu blok yang kuat dapat diwujudkan.
“Bagaimanapun, ketika ini banyak parti politik dari Sarawak dan Sabah ingin ‘berjalan sendiri’ dan tidak mahu bekerjasama sebagai satu blok, ini dipengaruhi oleh faktor politik.
“Dalam konteks ini, saya tidak hanya melihat Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Warisan sahaja tetapi apa yang lebih penting adalah kesemua parti politik Sabah dan Sarawak dapat bekerjasama khususnya dalam isu penting berkaitan negeri,” katanya.
Arnold yang juga penganalisis politik berkata demikian semasa webinar mengenai Politik Sabah dan Sarawak dalam Konteks Hubungan Persekutuan – Negeri (2008 hingga 2021) menerusi aplikasi Zoom, hari ini.