
TOKYO: Kerjasama antara Kerajaan Sarawak dengan pelabur antarabangsa dari pelbagai agensi di Jepun terus diperkukuh melalui lawatan kerja Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bersama-sama rombongan baru-baru ini.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan dan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar telah mengadakan pertemuan dengan pengurusan kanan Jepun Exploration Corporation Ltd (JAPEX).
JAPEX difahamkan kini sedang meneroka projek Penangkapan dan Penyimpanan Karbon (CCS) di Sarawak dan Awang Tengah berharap syarikat tersebut dapat bekerjasama dengan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dalam projek berkenaan.
Katanya projek CCS penting dalam usaha penyahkarbonan yang dijalankan oleh kerajaan di seluruh dunia, dan Sarawak berpotensi untuk menyediakan peluang pelaburan sedemikian kepada pelabur global.
Sementara, beliau juga sempat bertemu dengan Ketua Pegawai Operasi TG2/Wilhelmina Energy David Hiel. TG2 bekerjasama dengan Idemitsu Corporation dan berhasrat untuk mengeluarkan pelet hitam untuk bahan api hijau.
Seterusnya, Awang Tengah bertemu dengan Pengarah Bersekutu Asia Mineral Limited dan Presiden AML Japan Daijiro Murai, yang merupakan pemegang saham utama Pertama Ferroalloy Sdn. Bhd dan, Lembaga Pengarah & Pengurus Besar Pertama Ferroalloys Sdn. Bhd. Yuki Nakamura.
Dalam menyokong usaha Kerajaan Sarawak ke arah ekonomi hijau dan inisiatif CSR, Pertama Ferroalloys Sdn, Bhd. dan Sarawak Timber Industry Development Corporation telah menandatangani Memorandum Persefahaman untuk Menubuhkan Ladang Buluh dan program komuniti.
Melalui MoU ini, STIDC dan Pertama Ferroalloy berhasrat menubuhkan pasukan teknikal untuk meneliti beberapa perkara yang berkaitan.
Awang Tengah turut berharap agar kedua-dua pihak akan dapat menjalinkan kerjasama yang dapat memberikan keberhasilan.
