Kerjasama warga Meradong dipuji

BINTANGOR: Operasi pasukan petugas khas pematuhan digerakkan bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipatuhi orang ramai di daerah ini.

Operasi yang dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu diadakan bersama lain-lain agensi dalam Jawatan Kuasa Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Meradong yang dianggotai Majlis Daerah Meradong Julau (MDMJ), Rela, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Ketua Polis Daerah Meradong, Deputi Superitendan Polis (DSP) Sekam Anoi berkata, lokasi awam yang dipantau sibuk pada awal pagi namun lenggang selepas tengahari dan petang.

Katanya, pemantauan dilakukan ke atas sebanyak 105 premis termasuk kedai runcit, premis jualan makanan dan stesen minyak.

“Setakat ini, kepatuhan penduduk Meradong terhadap penjarakan sosial memuaskan.

“Selain dilawati, pemilik premis ini juga dinasihatkan mengisi borang notifikasi menjalankan aktiviti mahupun perniagaan menerusi laman sesawang http://community.service.sarawak.gov.my.

“Borang yang siap diisi perlu dicetak dan dipamerkan di premis perniagaan masing-masing,” katanya kepada media.

Sekam mahu pemilik premis terus mematuhi peraturan dan syarat PKPB seperti menjaga penjarakan sosial, memakai pelitup muka, menjalankan pembersihan nyahkuman tiga kali sehari, memaksimumkan pelanggan dalam kedai pada satu-satu masa dan sentiasa menjaga kebersihan diri termasuk membersih tangan dengan kerap serta penggunaan ‘hand sanitizer.’

Pada masa yang sama katanya, orang ramai perlu mengamalkan norma baharu (mengamalkan tabiat kesihatan yang tinggi) di samping mematuhi SOP (garis panduan) yang ditetapkan.

“Ketika operasi ini, kita menasihatkan orang awam agar tidak keluar rumah kecuali atas urusan penting atau kecemasan sahaja,” ujarnya.