Kerosakan kabel punca gangguan elektrik di Petra Jaya

KUCHING: Gangguan elektrik yang menjejaskan sebahagian kawasan Petra Jaya berpunca daripada kerosakan kabel antara Choice Food Super Mall ke arah pencawang Semariang.

Namun demikian, gangguan yang bermula kira-kira jam 8.30 malam sudah dipulihkan sepenuhnya sekitar jam 10.30 malam tadi.

SEB Cares menyatakan antara kawasan yang terjejas adalah Kutex PP Bag, Best Motor, Taman Cendrawasih, McDonalds Petra Jaya dan Taman Sri Sena.

Pengurus McDonalds Petra Jaya, Mohammad Farweez Haron berkata gangguan elektrik berlaku ketika ramai pelanggan mereka sedang menikmati makan malam di restoran berkenaan.

“Waktu itu, kira-kira 50 orang sedang makan. Tiba-tiba elektrik terputus menyebabkan semua orang terganggu,” katanya yang ditemu-bual.

Beliau berkata ini merupakan kali kedua bekalan elektrik terputus di kawasan berkenaan, selepas yang pertama pada Januari lalu.

Bagaimanapun, gangguan kali ini lebih lama iaitu kira-kira dua jam, bermula dari 8.30 hingga 10.30 malam.

Mohammad Farweez semasa ditemu-bual di McDonalds Petra Jaya, yang terjejas dalam gangguan bekalan elektrik dari jam 8.30 malam tadi.

 

McDonalds Petra Jaya turut terjejas berpunca dari kerosakan kabel antara Choice Food Super Mall ke arah pencawang Semariang. Gambar Abg. Ghaz