Kerugian RM2.8 juta akibat Parcel Scam

KUCHING: Kes Parcel Scam mengakibatkan kerugian sejumlah RM2.8 juta dengan 57 kes dilaporkan di negeri ini dari Januari hingga hari ini, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah.

Beliau berkata, setakat ini, 11 individu telah  ditangkap bagi membantu siasatan berkaitan kes tersebut.

“Bagi kesemua kes Parcel Scam, kami mendapati semua mangsa tidak pernah menerima barang yang dikirimkan walaupun pembayaran telah dibuat kepada pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini

Mustafa berkata, kes terbaharu melibatkan seorang suri rumah yang berusia 35 tahun yang mengalami kerugian sejumlah RM3,000 setelah dihubungi oleh seorang yang menyamar sebagai pekerja Bahagian KLIA International Cargo, semalam.

“Dalam kejadian itu, mangsa dimaklumkan bahawa dia telah menerima barang kiriman dari United Kingdom (UK), bagaimanapun perlu membayar sejumlah wang sebagai Insurans Kiriman kerana barangan itu telah ditahan oleh pihak kastam.

“Selain itu, suspek turut mengatakan jika mangsa tidak membuat bayaran tersebut, mangsa akan didenda RM500 sehari.

“Mangsa yang panik kemudian bertindak memasukkan wang berjumlah RM3,000 ke satu akaun atas nama individu tidak dikenali,” katanya.

Mustafa berkata, mangsa menyedari dirinya telah ditipu apabila suspek meminta mangsa membuat bayaran tambahan sebanyak RM18,500. – Bernama