KUCHING: Teka-teki bagi calon yang bakal bertanding di kerusi Puncak Borneo akan diputuskan oleh pucuk kepimpinan tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS), kata Naib Presiden PBB Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
Bagaimanapun katanya, PBB mempunyai matlamat untuk memenangi kerusi berkenaan bagi GPS.
“(Menteri Muda Pengangkutan dan Adun Mambong) Datuk Dr Jerip Susil sendiri mempunyai pendapat mengenai perkara ini, namun pucuk pimpinan yang akan memutuskan nanti,” katanya kepada pemberita, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Jerip yang menyatakan bahawa Puncak Borneo adalah milik PBB, komponen utama GPS.
Ketika ini kerusi tersebut ditawan Datuk Willie Mongin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) – rakan kongsi GPS dalam kerajaan persekutuan.
Apabila ditanya adakah penyandang kerusi itu perlu berundur dan memberi laluan kepada PBB, Dr Rundi berkata keputusan itu terletak di tangan Willie.
“Pada mulanya terdapat persefahaman bahawa Bersatu tidak akan meletakkan calon mereka untuk bertanding menentang GPS.. justeru, saya serahkan kepada Willie sendiri,” katanya lagi.
Menteri Pemodenan Pertanian dan Kemajuan Wilayah itu berkata berikutan kerajaan GPS dan Bersatu membentuk kerajaan persekutuan, dua belah pihak harus mengingati janji mereka kepada GPS.
“Mereka mesti menghormati perkara itu dan jika mereka tidak melakukannya, kami akan menentang mereka,” katanya.
Pada Selasa, Dr Jerip menegaskan tidak akan ada kompromi mengenai kerusi Parlimen Puncak Borneo yang merupakan kerusi PBB.
“Oleh kerana Puncak Borneo adalah kerusi PBB dan ia akan sentiasa menjadi kerusi PBB, tidak akan ada kompromi mengenainya,” katanya.