Kes baharu meningkat sekali ganda

KUCHING: Kes baharu positif Covid-19 di Sarawak semalam meningkat sekali ganda kepada 16 kes, kata Datuk Amar Douglas Uggah Embas. Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) itu berkata, ini menjadikan bilangan kes positif Covid-19 di Sarawak sejak dikesan pada 13 Mac lalu sebanyak 387 kes.

“Daripada 16 kes yang dilaporkan, 13 dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS), dua di Hospital Miri dan satu di Hospital Bintulu. “Dalam perkembangan sama, sebanyak 116 kes baharu orang di bawah siasatan (PUI) menjadikan jumlah keseluruhannya 3,065 kes,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Harian Pandemik Covid-19 di Wisma Bapa Malaysia di sini kelmarin.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri menambah, daripada jumlah PUI itu, sebanyak 2,419 kes didapati negatif Covid19 manakala 49 lagi masih menunggu keputusan ujian makmal.

“Kes PUI paling tinggi di Kuching dengan 59 orang diikuti Serian (16), Miri (16), Samarahan (sembilan), Bau (empat), Simunjan(empat), Bintulu (empat) serta satu masing-masing di Betong, Julau dan Mukah.

“Bagi rakyat Sarawak yang tiba ke negeri ini semalam menunjukkan penambahan seramai 14 orang,” jelasnya.

Ujarnya, ia menjadikan jumlah keseluruhan orang di bawah pemantauan (PUS) ialah 1,091 di Bahagian Kuching, Bintulu, Miri dan Limbang. Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian.