ARTIKEL

DSP Muhamad Rizal Alias

Kes buli di Mukah: Lima pelajar ditahan reman

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Lima pelajar tingkatan lima sebuah institusi pendidikan menengah di daerah ini ditahan untuk membantu siasatan kes buli membabitkan seorang pelajar tingkatan tiga sekolah berkenaan, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, kesemua remaja lelaki berumur 17 tahun itu direman selama empat hari bagi melengkapkan siasatan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat mengikut 506, 377CA dan 323 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Muhamad Rizal, IPD Mukah telah menerima laporan berkaitan kes buli pada Rabu lepas yang berlaku di asrama salah sebuah sekolah menengah di daerah ini.

Kejadian pertama berlaku di asrama lelaki pada Isnin lepas lebih kurang jam 9.30 malam apabila mangsa telah dicederakan di bahagian dada dan belakang badan oleh beberapa orang pelajar senior.

Katanya, suspek menuduh mangsa telah menghilangkan seluar mereka yang dibasuh oleh mangsa.

“Kejadian kedua berlaku pada Selasa lalu lebih kurang jam 9.30 malam di tempat yang sama, sekali lagi mangsa dicederakan secara fizikal di bahagian dada, perut dan kemaluan.

“Mangsa telah dihantar ke Hospital Bintulu untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

Pihak polis akan mengambil tindakan yang tegas berdasarkan peruntukan undang-undang terhadap mereka yang terlibat dengan kes buli ini, tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU