KUCHING: Seorang wanita sanggup membuat laporan palsu kononnya dicabul oleh pengawal keselamatan hotel kerana bimbang dimarahi suaminya, dalam kejadian di salah sebuah hotel di Batu Kawa di sini.
Tertuduh, Ayu Abdullah, 25, didenda sebanyak RM1,500 atau dipenjara tiga bulan sekiranya tidak dapat membayar oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah membuat laporan palsu tersebut sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.
Mengikut pertuduhan, dia didapati membuat laporan palsu di Balai Polis Kota Sentosa, Kuching pada 30 Oktober lepas dan mendakwa telah dicabul oleh seorang pengawal keselamatan di sebuah hotel di Batu Kawa di sini semasa hari kejadian.
Dalam laporan itu, Ayu menyatakan bahawa pengawal keselamatan berusia 51 tahun terbabit telah mencabulnya di dalam bilik hotel tersebut.
Siasatan polis kemudian mendapati kejadian itu tidak berlaku dan tertuduh membuat laporan palsu kerana takut dimarahi suaminya Ashley Austin Chin, 25, kerana kantoi berdua-duaan dengan lelaki itu.
Ayu juga turut mengaku membenarkan pekerja hotel itu masuk ke dalam bilik itu.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Fakta kes mendedahkan bahawa Ayu memfailkan laporan polis mendakwa dia diserang secara seksual oleh seorang pekerja hotel berusia 51 tahun di sebuah bilik hotel pada 30 Oktober, 2023.
Kejadian berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam sehingga 1 pagi dan mangsa yang merupakan pekerja di hotel tersebut telah dipukul oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali.
Mangsa kemudian dihantar ke Klinik Batu Kawa sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS).
Bagaimanapun, setibanya di wad ICU, mangsa koma dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan pernafasan oksigen dan keadaan ini berlarutan sehingga disahkan meninggal dunia pada 1 November 2023.