Kes bunuh tukang jahit, polis optimis ada suspek baharu

KUCHING: Polis menjangkakan masih ada suspek lain dalam kes pembunuhan seorang tukang jahit, yang mayatnya ditemui dalam bagasi di tebing sungai di Kampung Pangkalan, Bau pada Sabtu lepas.

Ini susulan daripada pengakuan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Senior Asisten Komisioner Denis Leong Soon Kuai yang optimis akan ada lagi tangkapan lanjut berkaitan kes berkenaan.

“Saya optimis,” katanya apabila ditanya berhubung perkara itu, hari ini.

Setakat ini, dua orang suspek sudah ditahan iaitu seorang lelaki berusia 28 tahun dan seorang wanita berusia 56 tahun.

Selain itu, Denis berkata bedah siasat mayat mangsa juga sudah dijalankan namun tidak dapat mendedahkan hasil bedah siasat tersebut.

Katanya punca kematian mangsa hanya akan didedahkan dalam mahkamah sebagai bukti jika kes berkenaan dibawa ke mahkamah.

Semalam, Denis mengesahkan mayat mangsa adalah seorang tukang jahit, yang juga pemilik sebuah kedai menjahit pakaian terkemuka di pusat bandar raya ini.

Beliau menambah pihaknya juga sudah menjumpai telefon bimbit milik mangsa di dalam longkang di Lorong Chawan 12, di sini pada tengah hari semalam.

Katanya bahan kes berkenaan dijumpai pasukan operasi pencarian yang dijalankan oleh Unit Forensik D10 dan D9, Jabatan Siasatan Jenayah bersama pasukan penyelam dari polis Marin.

Difahamkan, telefon bimbit mangsa telah dibuang oleh pembunuhnya.

Denis menambah pihaknya juga sedang berusaha mengumpul lebih banyak bukti, bagi menyelesaikan kes bunuh itu.