Kes pecah rumah burung: Enam lelaki dicekup di Asajaya

KOTA SAMARAHAN: Enam lelaki warga tempatan ditahan polis kerana disyaki merupakan kumpulan aktif pecah masuk rumah burung di kawasan Asajaya, hari ini.

Kegiatan keenam-enam individu terbabit terbongkar selepas salah seorang daripada mereka diberkas ketika cuba memecah masuk sebuah rumah burung di Kampung Jemukan Ulu sekitar jam 2.30 pagi pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Samarahan DSP Sudirman Kram dalam satu kenyataan mengesahkan kegiatan suspek diketahui menerusi sistem kamera litar tertutup(CCTV) oleh pemilik bangunan tersebut sebelum bertindak melaporkan kejadian kepada polis.

Susulan itu katanya, lokasi tersebut terus diserbu sepasukan anggota peronda kereta polis(MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Samarahan yang sedang melakukan rondaan ketika kejadian.

“Pasukan operasi berjaya menangkap seorang lelaki di rumah burung tersebut manakala seorang lagi rakannya berjaya melarikan diri.

RAMPAS…Tukul besi disyaki digunakan oleh suspek untuk memecah dinding rumah burung

“Pemeriksaan mendapati suspek, 23, yang berasal daripada Sadong Jaya menggunakan taktik memecahkan dinding bangunan untuk memasuki rumah itu,” jelasnya.

Tambahnya, turut dirampas sebatang tukul besi disyaki peralatan digunakan untuk memecah masuk rumah terbabit.

Sudirman menambah, hasil siasatan lanjut daripada kes pertama berjaya mengesan lima lagi lelaki tempatan berusia lingkungan 20 hingga 29 tahun yang disyaki turut terlibat aktif dalam kes pecah masuk rumah burung di kawasan Asajaya.

Katanya, kesemua suspek ditahan hasil serbuan sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kota Samarahanpada tiga tempat berasingan di Asajaya sekitar jam 5.30 pagi hari ini.

Dedahnya, hasil tangkapan itu disyaki berjaya menyelesaikan beberapa lagi kes pecah rumah dan curi sarang burung yang dilaporkan di kawasan Asajaya sebelum ini.

Ujarnya, siasatan bagaimanapun masih lagi giat dijalankan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Tegasnya, kesemua suspek akan dihadapkan ke hadapan Majistret Kota Samarahan untuk permohonan reman pada 3 November 2020 bagi membantu siasatan.

ANGKAP…Suspek berjaya ditangkap oleh pasukan peronda kereta polis IPD Samarahan di lokasi kejadian

Suara Sarawak