Trending

Kes pembunuhan Eric Chang: Sebutan semula pada 21 Jun

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Mahkamah Majistret di sini hari ini, melanjutkan sebutan semula kes bunuh kanak-kanak berusia empat tahun, Eric Chang Wei Jie kepada satu tarikh iaitu 21 Jun depan.

Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kuching Dora Undau menetapkan tarikh tersebut untuk kedua-dua tertuduh Wendy Chai Xue Zhen, 37, Ling Kok Liang, 51, sementara menunggu laporan forensik dan ujian Asid Deoksiribonukleik (DNA) yang belum tersedia.

Mahkamah kemudian menetapkan kedua-dua tertuduh dilanjutkan reman sehingga tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu pada 31 Mac, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan secara bersama oleh jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa sengaja membunuh kanak-kanak berusia empat tahun Eric Chang Wei Jie.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Lorong 2, Taman Riverview, Jalan Bintawa, di sini, sekitar jam 5.00 petang, antara 4 Mac dan 7 Mac lepas.

Oleh itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang yang mewakili Timbalan Pendakwa Raya Tan Chuan Yi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan kanak-kanak bernama Eric berusia empat dilaporkan hilang pada 7 Mac lepas semasa dijaga oleh pengasuhnya di kawasan perumahan di Bintawa.

Selain itu, kes kehilangan kanak-kanak terbabit diklasifikasikan sebagai kes bunuh oleh pihak polis dan empat individu telah ditahan untuk siasatan.

kedua-dua tertuduh di bawa masuk ke Mahkamah di sini hari ini.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

7 December 2023

Berita Terbaru