Kes positif baharu sedikit menurun berbanding semalam: 324 kes dengan empat kematian

KUCHING: Sarawak hari ini mencatatkan 324 kes baharu Covid-19 dengan empat kes kematian melibatkan warga emas.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, sejumlah 237 atau 73.15 peratus daripada jumlah kes telah dikesan di Daerah Miri, Bintulu, Sibu dan Kapit.

Kata JPBN Daerah Miri merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 146 kes diikuti Bintulu (36), Sibu (33), Kapit (22), Selangau (16), Pusa (13), Kuching (13), Saratok (10), Mukah (10), Beluru (5), Belaga (3), Subis
(3), Sri Aman (2), Matu (2), Pakan (2), Sebauh (2), Sarikei (2), Bukit Mabong (1), Betong (1), Meradong (1) dan Song (1).

Tambahnya, kes keseluruhan di negeri ini telah meningkat kepada 37,978 kes.

“Daripada 324 kes baharu yang dilaporkan, seramai 41 orang telah menunjukkan tanda dan mengalami gejala jangkitan Covid-19 semasa saringan dijalankan.

“Manakala, seramai 272 orang adalah terdiri daripada individu yang telah diberi arahan perintah kuarantin,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan.

Sementara, JPBN memberitahu, kes kematian di negeri ini telah meningkat kepada 219 orang.

Kata JPBN, kes kematian ke-216 melibatkan seorang perempuan berumur 79 tahun yang dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Bintulu.

Jelasnya, kes meninggal dunia pada 6 Mei lalu dan mempunyai ko-morbiditi penyakit darah tinggi, kencing manis dan penyakit buah pinggang kronik.

“Kes juga memerlukan bantuan orang dalam kehidupan asas harian (ADL dependent),” katanya.

Bagi kes kematian ke-217, JPBN berkata, kes melibatkan seorang perempuan berumur 87 tahun yang telah menerima rawatan di Hospital Sarikei.

Jelas jawatankuasa itu, kes meninggal dunia pada 14 Mei lalu dan mempunyai ko-morbiditi penyakit darah tinggi dan dislipidemia.

Manakala, katanya, kes kematian ke-218 melibatkan seorang lelaki berusia 92 tahun yang mendapatkan rawatan di Hospital Sarikei.

“Kes disahkan meninggal dunia pada 14 Mei lalu dan Kes mempunyai ko-morbiditi penyakit darah tinggi dan penyakit paru obstruktif kronik,” kata JPBN.

Bagi kes kematian ke-219 kata JPBN, kes melibatkan seorang lelaki berumur 63 tahun yang mendapatkan rawatan di Hospital Kanowit kerana mengalami kesesakan pernafasan.

Jelasnya, beliau disahkan meninggal dunia pada 15 Mei lalu dan mempunyai ko-morbiditi penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia.

Suara Sarawak