ARTIKEL

Kes rusuhan kediaman Batu Kawa, seorang ditahan yang lain masih diburu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PADAWAN: IPD Padawan menahan seorang lelaki tempatan selepas disyaki terlibat dalam kejadian rusuhan bersenjata objek tajam di perkarangan kediaman di Jalan Batu Kawa, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, lelaki berusia sekitar 20 an terbabit ditahan hari ini.

TANGKAPAN LAYAR… Tangkapan layar video rusuhan bersenjatakan objek benda tajam dan batang besi memecahkan harta benda di sebuah rumah kediaman.

“Suspek akan direman di Mahkamah Kuching esok hari bagi membantu siasatan, manakala Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Padawan akan mempergiatkan usaha mengesan suspek lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Abang Zainal mengesahkan telah menerima laporan daripada seorang pengadu wanita berkenaan insiden itu pada 4 Februari lepas.

Dalam insiden itu kata Abang Zainal, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan motif rusuhan masih dalam siasatan.

“Kes kini disiasat di bawah seksyen 148 Kanun Keseksaan atas kesalahan merusuh menggunakan senjata dan juga di bawah Seksyen 427 kanun yang sama iaitu khianat.

“Bagi kesalahan pertama, jika disabitkan kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya.

“Sementara bagi kesalahan kedua membawa kepada hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” jelasnya.

Dalam kes merusuh ini, Abang Zainal berkata selain BSJD Padawan, operasi mengesan dan tangkapan kesemua suspek turut dibantu oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) serta pasukan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Beliau turut percaya, tangkapan susulan ke atas suspek lain dapat dilakukan dalam tempoh waktu terdekat.

Terdahulu, tular video berhubung rusuhan yang dimuat naik dalam aplikasi telegram kira-kira jam 11.05 malam, semalam.

Dalam video yang mendapat tontonan sebanyak 52,000 penonton itu menunjukkan sekumpulan lelaki merusuh bersenjatakan objek tajam dan batang besi.

LAIN-LAIN BERITA

BERITA TERBARU