Kes salah guna dadah menurun

KUCHING: Sebanyak 636 kes melibatkan individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah dicatatkan di daerah Kuching dalam tempoh Januari hingga November tahun ini.

Ketua Agensi Antidadah Kebangsaan Daerah (AADK) Kuching Sharifah Azimah Said Ismail berkata, jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding mulai Januari hingga Disember 2019 yang mencatatkan 656 kes.

Menurutnya, kadar tangkapan bagaimanapun menunjukkan penurunan sekitar 10 peratus daripada jumlah kes sebenar.

Tambahnya, ia berikutan terdapat beberapa siri kes diselesaikan menerusi program komuniti pihaknya iaitu program pemulihan individu yang didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Pusat pemulihan di Sarawak tidak mencukupi untuk mengatasi semua tahanan yang telah ditangkap susulan hanya dapat memuatkan 150 pelatih.

“Justeru, kita telah menggunakan inisiatif dengan mengadakan program komuniti untuk memulihkan pesakit.

“Bagaimanapun sekiranya ada keperluan mendesak ataupun terdapat pesakit yang didapati terlalu parah, maka individu terbabit akan dimasukkan ke pusat pemulihan,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Program Terapi Keluarga di pekarangan Pejabat AADK Kuching baru-baru ini.

Tambahnya, pusat pemulihan baharu di Puncak Borneo yang baru sahaja beroperasi menggantikan tapak lama mampu menampung 250 pelatih. Setakat ini katanya, pusat pemulihan itu hanya menempatkan pelatih lelaki manakala pelatih wanita akan dirawat di Klinik Cure and Care.

Pengarah LPPKN Sharifah Azimah Said Ismail dan Pegawai Daerah Kuching Awang Yusup Awang Mostapha antara yang turut hadir.

Suara Sarawak