ARTIKEL

Kes tular tangkapan kakitangan JPN Pulau Pinang berlaku pada 2019-JPN

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan isu yang sedang tular di media sosial berhubung ‘beberapa kakitangan JPN Pulau Pinang dicekup polis kerana terlibat pengeluaran dokumen palsu yang sah’,berlaku pada 2019.

JPN dalam kenyataan malam ini memaklumkan kes berkenaan merujuk kepada kes tangkapan seorang pegawai JPN Pulau Pinang pada tahun tersebut.

“Siasatan telah dilakukan oleh pihak berwajib ketika itu dan pegawai telah ditahan dan dituduh di bawah beberapa kesalahan termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Untuk makluman, perbicaraan kes berkenaan sedang berjalan dan tertuduh masih ditahan di penjara,” menurut kenyataan itu.

Pada 2019, media melaporkan beberapa pegawai dan kakitangan JPN yang disyaki terbabit dalam sindiket penjualan MyKad di Pulau Pinang diburu sepanjang Op Biru Fasa Kedua.

Menurut kenyataan itu JPN tidak akan melindungi mana-mana kakitangannya yang didapati terlibat dalam sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan negara.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan jabatan itu serius dan memastikan tiada pelanggaran integriti seumpamanya dengan melaksanakan penambahbaikan prosedur pengeluaran dokumen pengenalan diri secara berterusan serta pelbagai program pengukuhan integriti kakitangan.

Selain itu, menurut JPN kerjasama strategik dengan agensi penguat kuasa lain juga sentiasa dijalankan bagi memastikan tiada ruang penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“JPN juga ingin mengingatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai maklumat yang diperoleh dalam talian dan menyemak dahulu kesahihan maklumat itu sebelum membuat sebarang pandangan atau kesimpulan atau memanjangkan mesej berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Menurut JPN perkongsian maklumat yang tidak tepat boleh menimbulkan keresahan dan keraguan dalam kalangan masyarakat.

“Semua pihak diseru agar bersama-sama menyebar maklumat yang tepat dan memberi persepsi yang jelas serta sahih kepada masyarakat di luar sana,” menurut kenyataan itu.- BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU