Kesal Undi 18 ditangguh

KUCHING: Pertubuhan Undi Sarawak kesal dengan keputusan SPR berhubung penundaan pelaksanaan Undi 18.

Ahli Undi Sarawak Nadia Malyanah Azman berkata, mereka menganggap kenyataan SPR itu adalah kemunduran terhadap demokrasi progresif negara.

“Pemerintah tidak berminat untuk terlibat dengan golongan belia atau memberi mereka hak bersuara.

“Perkara ini sangat dikesali kerana golongan ini merupakan sebahagian besar populasi dan mereka merupakan tonggak kekuatan masa depan negara.

“Ia seakan tidak masuk akal untuk pemuda Sarawak mengundi pada pilihan raya negeri akan datang memandangkan mereka tiada hak mengundi kerana keputusan terletak pada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, Nadia berharap Kerajaan Persekutuan dan Negeri memperkasa penglibatan belia dalam politik dan mengembalikan suara demokratik serta membenarkan mereka bersuara dalam memilih pemimpin.

“Kedua-dua kerajaan mempunyai tugas untuk memperkasa belia dengan melaksanakan Undi 18 tanpa berlengah lagi untuk membolehkan mereka mempunyai suara dalam membuat keputusan,” katanya.

Suara Sarawak