ARTIKEL

Kesan alam mula sakit

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MINGGU lepas, berpuluh-puluh ribu penumpang terkandas di lapangan terbang utama disebabkan banyak penerbangan domestik dibatalkan, terutama penerbangan dari Kuala Lumpur ke Sarawak dan Sabah.

Begitu juga penerbangan dari Sarawak, Sabah ke Kuala Lumpur.

Lapangan terbang tiba-tiba sesak dengan orang ramai yang menanti penjadualan semula penerbangan masing-masing.

Malah ada yang dijadual untuk terbang menunaikan umrah turut dilaporkan terkandas.

Situasi ini berlaku disebabkan Gunung Ruang di wilayah Sulawesi Utara, tidak jauh dari Kepulauan Borneo meletus belasan kali, yang mengeluarkan abu dan disusuli kepulan asap 400 meter di atas puncak. Keadaan yang amat membahayakan mana-mana kapal terbang.

Boleh merosakkan enjin kapal terbang. Sebab itu, ada juruterbang yang tidak sanggup untuk terbang ketika situasi demikian berlaku walaupun ditawarkan RM1 juta.

Bukan gelaran jutawan yang dikejar, tetapi nyawa diri sendiri serta nyawa penumpang yang dibawa.

Bersyukur, setelah keadaan mengizinkan ramai yang sudah dapat terbang ke lokasi masing-masing.

Bukan disebabkan letusan gunung berapi, penerbangan juga banyak dibatalkan disebabkan masalah jerebu tebal.

Pemandangan di udara memang tidak jelas ketika ada jerebu tebal. Ini juga memaksa pembatalan banyak jadual penerbangan.

Situasi ini pernah berlaku ketika negara dilanda jerebu teruk pada 1997. Jerebu rentas sempadan itu ialah bencana kualiti udara berskala besar yang turut meluas ke Asia Tenggara.

Jerebu 1997 paling teruk dilaporkan berlaku apabila hampir seluruh negara diselaputi asap tebal, malah bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di sesetengah kawasan melewati paras bahaya.

Jerebu 1997 juga menyebabkan Malaysia mengisytiharkan darurat, manakala jerebu yang melanda pada 2015 pula dikatakan yang terburuk dalam sejarah negara.

Pada 19 September 1997, Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad mengisytiharkan darurat jerebu di Sarawak apabila bacaan IPU melebihi 650 iaitu paras ‘berbahaya’ paling tinggi dalam sejarah.

Ia juga perisytiharan darurat jerebu alam sekitar pertama dalam sejarah Malaysia.

Pun demikian, bencana udara itu bukan yang pertama dilaporkan di Malaysia.

Pada 1960 — kali pertama jerebu dilapor berlaku disebabkan faktor dalam negara seperti pembakaran terbuka, pembakaran bahan api industri perkilangan dan kenderaan. Pada 1983 — jerebu berlaku disebabkan fenomena El Nino dan pembakaran hutan di Kalimantan.

Kualiti udara yang buruk juga menyebabkan beberapa penerbangan terpaksa dibatalkan.

Bacaan indeks pencemaran udara telah melebihi tahap bahaya untuk kesihatan.

Memang sukar untuk bekerja ketika itu terutama bagi syarikat media.

Ketika orang lain enak duduk di rumah, dengan pintu dan tingkap diitutup rapat, pengamal media pula perlu meredah jerebu untuk mendapatkan info terkini berkaitan jerebu untuk disampaikan kepada orang ramai.

Ketika itu, info terkini banyak bergantung kepada media massa — akhbar cetak, radio dan televisyen.

Penulis masih ingat, keadaan di luar rumah memang teruk. Tidak nampak apa-apa, cuma ada jerebu.

Ketika menunggang motosikal ke pejabat pula, memang perlu berhati-hati.

Memang tidak banyak kenderaan, tetapi berada di atas jalan raya ketika itu memang agak bahaya.

“Nasib sempat elak tek… mun sik dah terlanggar kereta depan kita duak,” beritahu penulis kepada rakan yang membonceng motosikal penulis.

Kami menunggang dengan kelajuan sekitar 30 kilometer per jam.

Bukannya laju, tetapi tanpa sedar ada kereta di depan.

Nasib baik terlihat lampu brek kereta berkenaan menyala. Kalau tidak, sudah berlaku kemalangan.

Punca

Satu disebabkan bencana alam (letusan gunung berapi), satu lagi disebabkan bencana buatan manusia (jerebu).

Disebabkan dua perkara ini, hidup manusia dimusnahkan.

Tiada apa-apa yang dapat dilakukan.

Tolak tentang gunung berapi, ada manusia yang menyalahkan manusia lain hingga mengundang bencana jerebu.

“Jerebu agik.

Tok sik lain, negara jiran yang bakar hutan tok!” Kata-kata ini pernah kita dengar setiap kali ada jerebu rentas sempadan.

Tanpa sedar ataupun pura-pura tidak sedar, ada ketika kita (rakyat Malaysia) sendiri yang menyebabkan berlaku jerebu.

Pembakaran terbuka menjadi amalan manusia yang tidak ambil peduli hal pemeliharaan alam sekitar.

Ada yang sanggup membakar kawasan semak, terutama ketika cuaca kering.

Ada yang secara sengaja membuang puntung rokok ke kawasan semak kering.

Orang seperti ini “gembira” melihat semak terbakar dan api menjulang tinggi.

Akhirnya, kebakaran sukar dikawal dan boleh menyebabkan pencemaran udara.

Akhirnya anggota bomba yang terpaksa bertungkus lumus memadam kebakaran itu — ada yang cedera ketika bertugas.

Polis pula bekerja keras mencari pelaku kebakaran.

Sementara Jabatan Alam Sekitar pula tidak senang duduk meninjau situasi udara, sama ada berada pada paras baik ataupun paras bahaya untuk kesihatan.

Harus diingat, alam juga ada tahap “kesabarannya”. Apa-apa sahaja boleh berlaku seperti “membalas” tindakan manusia.

Mengambil contoh tersebarnya virus COVID-19 yang menggegarkan dunia sebelum ini. Virus ini diketahui meragut hampir 337 juta penduduk dunia.

Bukan setakat kapal terbang tidak boleh terbang, kapal laut juga tidak boleh belayar.

Kenderaan darat pula tidak semuanya boleh bergerak waima di kawasan kampung atau perumahan.

Semuanya tersadai sementara. Seolah-olah bumi “direstart” semula untuk pemulihan.

Kualiti udara ketika itu amat baik dan sihat. Semuanya disebabkan aktiviti yang pernah mencemarkan udara tidak dapat beroperasi — tiada orang yang bekerja.

Tetapi, kebaikan ini perlu dibayar dengan harga yang mahal. Banyak nyawa diragut musuh tidak kelihatan ini. Ekonomi dunia juga merudum.

Banyak syarikat tutup operasi.

Ramai yang tidak mempunyai makanan di atas meja makan di rumah disebabkan duit simpanan telah habis. Dan ramai juga yang hilang pekerjaan.

Ramai menjadi pengganggur. Inikah yang kita mahu? Jika tidak mahu, maka kita perlu “restart” diri sendiri dahulu dengan melakukan perubahan dengan mengutamakan pemuliharaan alam sekitar.

Sebab, bencana yang berlaku sekarang banyak disebabkan kerakusan manusia yang pentingkan keuntungan semata-mata.

BERITA LAIN

Ketagih subsidi

ISU berkaitan subsidi kembali hangat diperkatakan. Adakah pemberian subsidi sesuatu yang harus terus diamalkan ketika beban hutang negara semakin membengkak? Bagaimanakah reaksi rakyat apabila subsidi

Tragedi dunia maya Si Kucing Gendut

FAT Cat, 21, atau nama sebenarnya Liu Jie, selebriti dunia gamer – permainan popular Honour of Kings – namanya tiba-tiba melonjak di dunia maya khususnya

Zaman makin canggih, adab makin mundur

KETIKA masih kanak-kanak atau zaman sekolah sekitar tahun 90-an atau awal 2000, kita amat menghormati orang lebih tua terutama ibu bapa. Ini kerana kebanyakan kita

Sik nyaman jangan makan

DI Sarawak selain agama, budaya dan pakaian – makanan merupakan benda paling sensitif jika orang luar menghina. Bukan orang Sarawak tidak menerima kekurangan, tetapi menghina

Selamat pagi cikgu

ADA yang tertekan kerana tinggal bersama-sama pesakit mental, ada yang daif dan ada yang terpaksa bekerja, demi kelangsungan hidup. Pada suatu hari, salah seorang murid

BERITA TERBARU