
BARU-BARU ini tular seorang doktor pakar yang kehilangan wang berjumlah RM13,000 di dalam akaunnya.
Menurut doktor itu, setelah 30 tahun setia dengan sebuah bank, beliau akhirnya menamatkan khidmat dengan bank itu kerana kehilangan sejumlah wang menerusi transaksi dalam talian tanpa kebenarannya, yang disyaki perbuatan penggodam atau ‘scammer’ sekitar jam 2.00 pagi.
Walaupun sudah melaporkan kepada pihak bank dan polis, namun beliau kecewa kerana maklum balas diterima bahawa jika scammer telah mengeluarkan wang terbabit, wangnya tidak dapat dikembalikan semula.
Susulan hantaran doktor itu di laman sosialnya, ramai mangsa yang tampil turut mendakwa mengalami keadaan serupa yang melibatkan beberapa bank di negara ini.
Turut tidak terkecuali, ibu kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil juga pernah lesap wang sejumlah RM75,000 hanya dalam tempoh 15 minit menerusi transaksi dalam talian tanpa kebenaran.
Malangnya, pihak bank juga tidak berupaya menghentikan transaksi scammer tersebut, sekali gus menimbulkan keraguan besar dalam sistem keselamatan perbankan dalam talian.
Lebih malang lagi, mangsa yang kehilangan sejumlah wang, sama ada kecil atau besar tidak akan mendapat pampasan mahupun wang mereka semula.
Susulan itu, kerajaan digesa supaya segera meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA).
Ia perlu bagi mewajibkan pihak seperti penyedia penyelesaian pembayaran dalam talian serta iPay88 agar memberi notis sepantas mungkin kepada pihak berkuasa dan mangsa apabila berlaku pencerobohan atau kecurian data.
Untuk rekod, lebih 100 juta data peribadi dilaporkan telah dicuri sejak lima tahun kebelakangan ini termasuk insiden iPay88.
Sebelum ini, media nasional turut melaporkan bahawa iPay88 telah mengesahkan berlakunya insiden keselamatan siber yang mungkin menjejaskan data kad pengguna.
Dalam satu kenyataan, iPay88 berkata, sejak 31 Mei lalu, mereka telah menggunakan pakar keselamatan siber bagi membendung isu tersebut.
Bagaimanapun tindakan iPay88 agak dikesali kerana firma e-dagang itu hanya mengumumkan kejadian tersebut pada 11 Ogos, selepas hampir tiga bulan kejadian pencerobohan itu berlaku.
Dua tahun lalu, seorang bekas penggodam pernah mengakui terlalu banyak kelemahan dalam sesetengah sistem perbankan di negara ini, membolehkan penggodam memintasnya, sekali gus merisikokan wang pendeposit hilang begitu sahaja.
Temu bual eksklusif melibatkan bekas penggodam yang juga pakar teknologi maklumat (IT) dengan media nasional itu turut mendakwa bahawa sistem yang digunakan oleh beberapa bank di Malaysia bersifat salin dan tampal daripada sistem terdahulu.
Jadi tindakan sesetengah bank menggunakan perisian serta program bersifat terbuka mengakibatkan wujud kelompongan yang mendedahkannya kepada ancaman penggodam.
Dakwanya kelompongan tersebut membolehkan penggodam memintas sistem keselamatan sesetengah bank dengan begitu mudah sekali.
Jadi apa gunanya simpan wang di bank jika tidak selamat? Berapa ramai lagi akan mangsa seterusnya?
Justeru, diharap pihak kerajaan dan bank negara bersikap lebih tegas dan mengambil langkah untuk membendung jenayah yang semakin berleluasa ini demi kesejahteraan rakyat di negara ini.
Selain itu, pihak bank juga perlu menggunakan kaedah lain dalam memastikan wang penyimpan dapat diselamatkan sekiranya berlakunya aktiviti penipuan terhadap pelanggan mereka.