Kestabilan politik Sarawak dicemburui

KUCHING: Sarawak diyakini berada di landasan yang betul dalam mencapai negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, meskipun dunia terjejas dengan penularan pandemik Covid-19, beliau sangat yakin Sarawak masih boleh berada di landasan betul untuk mencapai status maju dan berpendapatan tinggi pada 2030.

“Ini bukan keyakinan kosong kerana asas ekonomi kita kuat, dasar kita disusun dan diselaras semula selepas Covid-19, sementara kestabilan politik kita dicemburui orang lain.

“Penandatanganan Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) minyak dan gas baru-baru ini dengan Petronas memberi kita keyakinan tambahan bahawa negeri kita dapat memperoleh lebih banyak pendapatan daripada sumber minyak dan gas selain hanya royalti lima peratus yang biasa diterima oleh Sarawak, rata-rata RM700 hingga RM800 juta setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sambutan Hari Natal, semalam. Kata Abang Johari, pengenaan cukai jualan minyak dan gas pada kadar lima peratus menyaksikan hak Sarawak diakui mahkamah yang membolehkan Sarawak mempunyai aliran pendapatan baharu sekitar RM3.2 bilion setiap tahun.

“CSA juga membuka jalan bagi Sarawak untuk menyertai secara aktif dalam aktiviti huluan dan hiliran sumber minyak dan gas kita melalui Petros, syarikat minyak dan gas milik negeri ini.

“Sarawak adalah satu-satunya negeri memiliki perlombongan minyak darat akan dihidupkan semula dengan dua pajakan yang telah diberikan kepada Petros,” tegasnya.

Meskipun mendapat kritikan dari pihak tertentu, jelas Abang Johari, CSA memberikan perjanjian yang lebih baik untuk Sarawak dan mengembalikan hak Sarawak atas sumber minyak dan gas di bawah Ordinan Perlombongan Minyak 1958.

“Maka, masa depan cerah bagi Sarawak selagi kita tidak mensia-siakannya.

“Kita semua harus menahan diri daripada memikirkan dan menyalakan isu perkauman dan agama yang akan merosakkan perpaduan dan keharmonian kita,” ujarnya.

Katanya lagi, Kerajaan GPS berusaha untuk menjadi inklusif kerana tidak ada yang harus ketinggalan. “Kita mesti bekerjasama untuk membangunkan Sarawak menjadi ekonomi digital, memanfaatkan sumber semula jadi dan bakat manusia yang kaya.

“Dalam kita berada di ambang meninggalkan tahun 2020 dan melangkah ke tahun 2021, saya mengajak saudara dan saudari sekalian untuk terus mengukuhkan iltizam kita untuk mengisi keharmonian dan kemajuan Sarawak dalam apa-apa jua kapasiti dan peranan,” katanya.