KUCHING: Masalah ketagihan dadah dan bahan terlarang adalah satu cabaran global untuk ditangani bersama-sama secara bersepadu dan holistik susulan ia tidak mengenal sempadan negara, bangsa, jantina malah status sosioekonomi.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, kesemua ahli-ahli Pelan Tindakan One Stop Committee (OSC) khususnya ahli-ahli Biro Menangani Isu Dadah dan Substans (MIDS) perlu terus bergerak aktif dan menggandakan usaha bagi menangani masalah itu.

“Disebabkan itu, ahli-ahli OSC harus menyokong rawatan dan pemulihan mana-mana keluarga yang terlibat dalam kancah penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Gala Anugerah Pheonix sempena Simposium Pemulihan Antarabangsa (IRS) 2023 di Hotel Imperial di sini, malam Rabu.
Menurut Tengah, peranan pakar, pekerja sosial dan pemimpin masyarakat dalam pengurangan permintaan dadah tidak seharusnya dilihat sebagai tanggungjawab formal semata-mata, tetapi atas dasar kemanusiaan.
Katanya, Sarawak mencatatkan peratusan residivisme terendah di Malaysia, iaitu sebanyak 0.88 peratus dan kadar pemenjaraan 95 banduan bagi setiap 100,000 penduduk.
“Nisbah pencarian bantuan dalam kalangan kumpulan terjejas akibat penggunaan bahan bertambah baik dari 1:10 pada 2018 kepada 1:6 Julai 2022.
“Ini adalah antara pencapaian mengagumkan dan menunjukkan bahawa Sarawak berada di landasan yang betul untuk menangani masalah penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang,” ujarnya.