Dalam kehidupan yang semakin sibuk, ramai antara kita berdepan dengan tekanan atau stres.
Beban kerja yang bertambah, tuntutan keluarga, masalah kewangan dan pelbagai cabaran kehidupan boleh menyebabkan seseorang berasa letih dari segi fizikal dan emosi.
Ada yang sukar tidur, cepat marah, hilang motivasi dan berasa penat walaupun tidak melakukan kerja berat.
Namun, tahukah anda salah satu “ubat” semula jadi yang mudah, percuma dan boleh diamalkan oleh semua orang ialah ketawa?
Walaupun kedengaran mudah, ketawa sebenarnya memberikan kesan yang besar terhadap kesihatan mental dan fizikal.
Dalam bidang psikologi, terdapat pendekatan yang dikenali sebagai terapi ketawa (laughter therapy atau laughter yoga), iaitu teknik yang menggunakan ketawa secara sengaja sebagai kaedah untuk membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan kesejahteraan emosi.
Mengapa Ketawa Baik Untuk Kesihatan?
Pernahkah anda menyedari selepas ketawa bersama rakan-rakan, hati terasa lebih ringan dan fikiran menjadi lebih tenang? Perasaan ini bukan sekadar kebetulan.
Apabila kita ketawa, otak akan merangsang penghasilan bahan kimia seperti endorfin, iaitu hormon yang membantu menimbulkan rasa gembira dan mengurangkan kesakitan.
Pada masa sama, paras hormon stres seperti kortisol dan adrenalin akan menurun.
Ketawa juga membantu merehatkan otot-otot yang tegang, meningkatkan pengambilan oksigen ke dalam badan, melancarkan peredaran darah, mengurangkan tekanan darah dalam keadaan tertentu serta meningkatkan suasana hati dan tahap tenaga.
Oleh sebab itu, ramai orang berasa lebih segar selepas ketawa walaupun hanya untuk beberapa minit.
Ketawa Walaupun Tiada Perkara Lucu?
Ramai beranggapan seseorang perlu mendengar jenaka terlebih dahulu sebelum boleh ketawa.
Sebenarnya, terapi ketawa mengajar otak tidak banyak membezakan antara ketawa secara spontan dengan ketawa yang dilakukan secara sengaja.
Kedua-duanya boleh menghasilkan tindak balas fisiologi yang hampir sama apabila dilakukan dengan bersungguh-sungguh.
Sebagai contoh, dalam sesi terapi ketawa, peserta akan berdiri dalam bulatan, menarik nafas dalam-dalam dan mula ketawa secara perlahan-lahan.
Pada mulanya, keadaan itu mungkin terasa janggal, tetapi apabila melihat orang lain turut ketawa, ketawa tersebut biasanya menjadi lebih semula jadi dan mudah berjangkit.
Inilah sebabnya ketawa sering dikatakan sebagai “penyakit” yang paling baik untuk dijangkiti.
Contoh Mudah dalam Kehidupan Harian
Bayangkan seorang guru yang baru selesai mengendalikan kelas sepanjang hari. Beliau pulang ke rumah dalam keadaan letih dan tertekan.
Pada waktu malam, beliau menonton rancangan komedi bersama keluarga. Tanpa disedari, beliau ketawa berulang kali.
Selepas rancangan itu tamat, beliau berasa lebih tenang dan mampu berbual dengan ahli keluarga dalam suasana yang lebih ceria.
Contoh lain ialah sekumpulan pekerja yang mengadakan aktiviti “lima minit ketawa” sebelum memulakan mesyuarat.
Walaupun ringkas, aktiviti tersebut dapat mengurangkan ketegangan, mencairkan suasana formal dan meningkatkan semangat kerjasama.
Ketawa tidak menyelesaikan masalah berkaitan pekerjaan, tetapi dapat membantu kita menghadapi masalah dengan fikiran yang lebih tenang.
Terapi Ketawa Bukan Bermaksud Mengabaikan Masalah
Ada yang tersalah anggap bahawa terapi ketawa mengajar kita supaya ketawa walaupun sedang menghadapi kesusahan.
Sebenarnya, tanggapan itu tidak tepat. Terapi ketawa bukan bertujuan untuk menafikan kesedihan atau menyebabkan seseorang berpura-pura gembira.
Sebaliknya, terapi ini membantu tubuh dan minda berehat seketika supaya kita mempunyai kekuatan emosi untuk menghadapi cabaran dengan lebih baik.
Jika seseorang mengalami kemurungan, gangguan kebimbangan atau tekanan emosi yang serius, terapi ketawa boleh dijadikan sebagai aktiviti sokongan, tetapi tidak boleh menggantikan rawatan profesional seperti kaunseling atau rawatan psikiatri.
Cara Mudah Mengamalkan Terapi Ketawa
Anda tidak memerlukan peralatan khas untuk memulakan terapi ketawa. Antara cara mudah yang boleh diamalkan ialah meluangkan masa menonton video atau rancangan yang menghiburkan serta berkumpul bersama rakan-rakan atau ahli keluarga yang bersikap positif dan gemar bergurau secara sihat.
Anda juga boleh cuba ketawa selama satu hingga dua minit setiap pagi sambil menarik nafas dengan perlahan. Selain itu, anda boleh menyertai aktiviti atau kelab terapi ketawa sekiranya terdapat kemudahan sedemikian di kawasan anda.
Dalam kehidupan seharian, elakkan daripada terlalu serius terhadap kesilapan kecil. Sebaliknya, belajarlah untuk mentertawakan perkara-perkara ringan yang tidak memudaratkan supaya fikiran menjadi lebih tenang dan emosi lebih positif.
Ketawa yang ikhlas bukan sahaja menceriakan diri sendiri, malah turut memberikan kesan positif kepada orang di sekeliling.
Ketawa Menguatkan Hubungan
Selain memberikan manfaat kepada individu, ketawa juga dapat mengeratkan hubungan sesama manusia.
Dalam keluarga, ibu bapa yang sering bergelak ketawa bersama anak-anak biasanya dapat mewujudkan suasana rumah yang lebih mesra dan harmoni.
Di tempat kerja pula, ketawa yang bersesuaian dengan situasi dapat mengurangkan ketegangan serta meningkatkan komunikasi dalam pasukan.
Namun begitu, penting untuk memastikan gurauan tidak menyentuh sensitiviti orang lain atau menjadikan seseorang sebagai bahan ketawa.
Ketawa yang sihat ialah ketawa yang dapat membina hubungan, bukannya melukakan hati.
Penutup
Dalam dunia yang penuh dengan tekanan, kita sering mencari pelbagai cara untuk mendapatkan ketenangan. Kadangkala, jawapannya lebih dekat daripada yang kita sangka.
Senyuman yang membawa kepada ketawa mampu menjadi ruang untuk minda dan tubuh berehat seketika. Ketawa tidak memerlukan sebarang kos, tidak memerlukan ubat dan boleh dilakukan pada bila-bila masa.
Walaupun ketawa bukan penyelesaian kepada semua masalah, ia dapat membantu kita melihat kehidupan daripada perspektif yang lebih positif serta memberikan kekuatan untuk meneruskan langkah.
Seperti kata ungkapan, “Ketawa ialah ubat terbaik.” Dari sudut psikologi, ungkapan ini bukan sekadar kata-kata, malah disokong oleh dapatan yang menunjukkan ketawa mampu mengurangkan tekanan, meningkatkan emosi positif dan membantu kita menjalani kehidupan yang lebih seimbang.
Justeru, luangkan sedikit masa setiap hari untuk tersenyum dan ketawa bersama-sama orang yang kita sayangi. Mungkin masalah masih ada, tetapi hati yang lebih tenang akan menjadikan kita lebih bersedia untuk menghadapinya.
Penulis ialah Pensyarah Program Kaunseling UNIMAS.






