Ketengahkan budaya, warisan

MUKAH: Ketua Projek Benedict Peter berkata, pihaknya bekerjasama dengan agensi kerajaan lain ada di sini untuk menyiapkan lukisan mural tersebut.

“Untuk menyiapkan lukisan mural ini, kami dibahagikan kepada dua bahagian.

Bahagain A memfokuskan kepada lukisan mural berbentuk budaya dan warisan dan kumpulan B pula untuk pesanan positif kepada masyarakat melalui pelbagai agensi kerajaan yang terlibat seperti polis, Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) dan banyak lagi.

“Saya juga telah menjemput lebih 20 pelukis pelbagai kaum di Mukah. Ada juga dari Semenanjung Malaysia menetap di sini, termasuk yang telah berkerjaya, pereka grafik dan ramai lagi,” katanya ketika ditemui di tapak Kala Dana.

Tambahnya lagi, tema pelbagai kaum telah dipilih kerana ia penting untuk memperkenalkan aspek budaya dan warisan kepada generasi baharu.

“Kebanyakan lukisan yang kami lukis di sini seperti ‘dakan Melanau’ sejenis patung perubatan yang tidak lagi wujud kini dan tiada lagi pengukirnya di sini.

“Begitu juga dengan tengkorak di rumah panjang yang kini jarang lagi ditemui, kita zahirkan dalam bentuk lukisan di mural ini,” katanya.

Tambahnya lagi, terdapat juga etnik dan bangsa lain turut ditonjolkan melalui lukisan mural tersebut, antaranya kaum Melayu, Cina, etnik Iban, Bidayuh dan sebagainya termasuk karikatur serta kartun yang dapat menarik minat kanak-kanak apabila berkunjung ke sana.

Benendict berharap dengan adanya mural tersebut, lebih ramai lagi pelukis dapat menonjolkan diri untuk bersama-sama mengukuhkan lagi pergerakan seni halus di Mukah.

“Saya berharap mereka ini akan tampil untuk projek seterusnya,” katanya.

Beliau turut berharap pengunjung menjaga kebersihan dan tidak melakukan vandalisme.