Ketua Menteri batal semua majlis minggu ini di seluruh Sarawak

KUCHING: Berikutan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini, semua majlis Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg minggu ini telah dibatalkan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, atas nasihat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Ketua Menteri telah memutuskan untuk membatalkan program yang dijadualkan minggu ini di seluruh Sarawak.
Kata Uggah ini, menunjukkan bahawa Abang Johari ingin memberi pesanan kepada orang ramai untuk tidak berkumpul.
Tambahnya, Abang Johari juga bersetuju dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di beberapa zon merah.
“Pengumpulan orang ramai menyebabkan munculnya Kluster Pasai yang menyebabkan banyak kes Covid-19 dan kenaikan beberapa kes di Miri.
“Oleh itu, kita menasihati rakyat semua dalam keadaan sekarang, jika tiada urusan di luar, duduk di rumah,” ujarnya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Bangunan Dun Lama, hari ini.
Tambahnya, dengan berbuat sedemikian, rakyat Sarawak akan lebih selamat.
Uggah yang juga Pengerusi JPBNS memberi jaminan bahawa Kerajaan Sarawak bersama JPBNS akan melakukan yang terbaik untuk memastikan segala kemudahan kuarantin dan perubatan dipertingkatkan.
“Ini adalah agar rakyat Sarawak boleh mendapat akses kepada kemudahan yang lebih baik.
“Saya akan mengumumkan berapa banyak Kerajaan Sarawak telah berbelanja untuk kemudahan ini. Saya rasa kita satu-satunya negeri yang menanggung kos kemudahan kuarantin sepanjang pandemik ini,” ujarnya.
Beliau turut berkata, ini menunjukkan bahawa pemimpin kita, Ketua Menteri amat prihatin kepada rakyat dan mencerminkan sokongannya pada perancangan JPBNS.