Ketua Menteri lakukan majlis pecah tanah Jambatan Batang Rambungan pagi ini

KUCHING: Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Rambungan Lundu akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pagi ini.

Jambatan itu akan memudahkan pergerakan penduduk dari Lundu ke bandar raya Kuching, tanpa perlu lagi menaiki feri.

Jambatan Batang Rambungan merupakan antara tujuh jambatan yang bakal dibina di sepanjang jalan pesisir di negeri ini.

Jambatan-jambatan lain ialah Batang Sadong, Sungai Krian, Batang Paloh, Muara Lassa, Batang Igan dan Batang Lupar.

Ini merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk menyambung rangkaian yang terputus sehingga apabila siap kesemuanya nanti memudahkan pergerakan dari selatan ke utara Sarawak.

Pembinaan Jambatan Batang Rambungan sepanjang 560 meter dijangka akan memberi kesan limpahan sosioekonomi kepada rakyat, terutama penduduk tempatan.

Menurut jadual, Ketua Menteri dijangka mendengar taklimat tentang projek sebelum menyampaikan ucapan dan merasmikannya.

Dijangka penyerahan surat setuju terima projek akan disampaikan kepada syarikat yang berjaya mendapat tender melaksanakan projek yang bakal mengubah landskap kawasan terbabit.

Para pegawai dari kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri telah hadir melakukan tinjauan persiapan akhir di lokasi majlis pecah tanah projek semalam.

Tempat letak kereta orang awam adalah di jalan utama FAC dan disediakan pengangkutan bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.