KUCHING: Ketua Menteri Sarawak digelar sebagai Premier Sarawak berkuat kuasa hari ini, kata Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion.
“Pindaan berkuat kuasa mulai hari ini, 1 Mac 2022.
“Ketua Menteri Sarawak selepas tarikh mula berkuat kuasa pindaan itu akan dipanggil dalam bahasa Inggeris sebagai “Premier of Sarawak” dan dalam Bahasa Malaysia sebagai Premier Sarawak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, beliau berkata Timbalan Ketua Menteri akan dirujuk sebagai Timbalan Premier dan Menteri Muda sebagai Timbalan Menteri berkuat kuasa pada tarikh yang sama.
Manakala, Jaul berkata bagi Pejabat Ketua Menteri akan dirujuk dalam bahasa Inggeris sebagai “Office of the Premier of Sarawak” dan dalam Bahasa Malaysia sebagai Pejabat Premier Sarawak.
Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 15 Februari lalu meluluskan beberapa pindaan kepada Perlembagaan Negeri Sarawak.
Antara pindaan itu ialah istilah Ketua Menteri ditukar kepada Premier.