Ketua Menteri ucap takziah atas pemergian Tun Rahah

DALAT: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarhamah Tun Rahah Tan Sri Mohamed Noah yang menghembuskan nafas terakhir semalam.

Menurut Abang Johari, Tun Rahah yang merupakan ibu kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sering berkunjung ke Sarawak dan rapat dengan ibu beliau kerana mereka dari generasi yang sama.

“Kita bagi pihak seluruh rakyat Sarawak mengucapkan takziah kepada keluarga Tun Rahah.

“Sebenarnya beliau sangat rapat dengan pemimpin sebelum ini iaitu kerana ketika Tun Razak menjadi Perdana Menteri.

“Semoga roh Allahyarhamah dirahmati dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan soleh,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Dalat Waterfront 2 dan Bangunan Bazaarnita Fatima di sini, hari ini.

Terdahulu, Tun Rahah, 87, yang merupakan balu kepada Perdana Menteri kedua, Tun Razak Hussein menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur selepas dilapor kurang sihat.

Tun Rahah juga merupakan anak bongsu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat yang pertama iaitu Allahyarham Tan Sri Mohamed Noah Omar serta dikenali sebagai figura penting di belakang dua bekas pemimpin nombor satu negara.