Ketua Menteri umum projek Miri Raya

MIRI: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan rancangan Kerajaan Sarawak untuk membangunkan Miri Raya dengan pembangunan terancang di bahagian utara negeri ini.

Katanya, ia bermula dengan pembinaan jalan pesisir dari Miri hingga ke Limbang dan Lawas termasuk Jambatan Marudi yang menghubungkan kawasan tanah tinggi Baram. “Kita merancang membangunkan denai menuju Gua Niah supaya dapat dilalui oleh kereta bugi. Ini kerana gua tersebut mempunyai tarikan yang sangat kuat. “Kita menjangkakan ramai pengunjung luar tertumpu di gua ini kerana penemuan terbaharunya,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Jamuan Mesra Tahun Baharu Cina anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Miri malam tadi. Untuk rekod, tahun lalu pakar arkeologi dari New South Wales University Australia, Profesor Madya Dr Darren Curnoe merekodkan penemuan serpihan tulang manusia yang dianggarkan berusia lebih 60,000 tahun di Gua Dagang, dalam Kompleks Gua Niah.

Penemuan ini dianggap yang tertua di rantau ini, setelah sebelum ini tengkorak Deep Skull yang juga ditemui di sini dianggarkan berusia 35,000 tahun. Abang Johari menambah, Kerajaan Sarawak juga bakal membina jalan pesisir dari Kuching ke Bintulu malah merancang menghubungkan Miri ke Limbang dan Lawas. Jelasnya, perancangan itu akan memberi banyak manfaat kepada penduduk sekitar yang tinggal di pesisir pantai.

Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, turut dibangunkan adalah kawasan Sibuti. “Kita mempunyai rancangan untuk memajukan kawasan Sibuti dengan membina jambatan yang merentasi daerah itu,” ujar Abang Johari lagi.

Suara Sarawak