Ketua Polis Sibu terlibat kemalangan kendiri

SIBU: Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit telah terlibat dalam kemalangan kendiri yang berlaku di Jalan Lanang di sini semalam.

Jurucakap Pusat Operasi Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak (BOMBA) berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 8.49 malam tadi.

Menurutnya, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan terbabit dengan mangsa tersepit di tempat duduknya.

“Komandan operasi melaporkan bahawa sebuah kereta hilang kawalan dan merempuh sebatang pokok di tepi jalan yang berhadapan dengan SMK Chung Hua.

“Mangsa berjaya dikeluarkan dari kereta oleh orang awam.

“Mangsa diberi pertolongan cemas dan dibawa ke Hospital Sibu oleh Pasukan Pertahanan Awam,” kata jurucakap itu dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.

Jurucakap itu menambah, tidak ada operasi menyelamat yang dilakukan.

Anggota bomba yang dihantar ke tempat kejadian hanya menarik terminal bateri kereta mangsa.