
KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM100 atau penjara empat hari oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mengganggu ketenteraman orang awam yang berhenti di kawasan lampu isyarat di Jalan Utama dengan mengetuk dan membuka pintu kereta.
Tertuduh Mohd Shahriz Abdul Rahman Ribut, 27, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 28 Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak yang dibacakan di hadapan Majistret Nursyaheeqa Nazwa Radzali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja mengganggu ketenteraman orang awam di lampu isyarat Jalan Utama sekitar jam 9 pagi, 19 Disember lalu.
Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 14 hari dan denda RM100 manakala bagi kesalahan yang kedua dan seterusnya boleh dikenakan penjara tiga bulan dan denda RM500.
Menurut fakta kes, ketika kejadian, pengadu berada di tempat kerjanya di sebuah kedai jahit telah didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali membuat kacau di hadapan kedai lalu menghalau lelaki terbabit.
Kemudian tertuduh lalu melarikan diri dan membuat kacau di kawasan lampu isyarat Jalan Utama dengan mengetuk dan membuka kereta orang awam yang menggunakan jalan terbabit.
Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk mendapatkan bantuan kerana tertuduh telah mengganggu ketenteraman orang awam.
Tertuduh berjaya ditangkap oleh pihak polis pada hari yang sama di kawasan bangunan City Bridge sebaik sahaja menerima arahan dan laporan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.