KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Tenaga Nasional Bhd (TNB) melonjak 12.2 peratus kepada RM1 bilion pada suku pertama berakhir 31 Mac 2023 daripada RM893.10 juta pada suku yang sama tahun lepas.
Peningkatan ini kebanyakannya disebabkan oleh peruntukan cukai yang lebih rendah diiktiraf pada suku di bawah kajian, hasil daripada penggunaan insentif elaun pelaburan semula lebih tinggi, kata syarikat utiliti itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Sementara itu, hasil meningkat 3.9 peratus kepada RM12.63 bilion daripada RM12.15 bilion sebelum disebabkan oleh jualan elektrik yang lebih tinggi.
TNB berkata perbelanjaan operasi meningkat sebanyak 7.5 peratus kepada RM14.44 bilion daripada RM13.43 bilion, kebanyakannya susulan kos penjanaan yang lebih tinggi membawa kepada Ketidakseimbangan Kos Laluan (ICPT) yang lebih tinggi di bawah pemulihan diiktiraf pada suku tersebut.
Bagaimanapun terdapat pembalikan bersih dalam kemerosotan nilai instrumen kewangan berjumlah RM48.7 juta yang diiktiraf dalam tempoh semasa disebabkan peningkatan dalam aliran kutipan.
“Hasilnya, TNB mencatatkan keuntungan operasi yang lebih rendah sebanyak RM2.08 bilion, berkurangan sebanyak RM287.5 juta daripada tempoh sebelumnya,” katanya. – BERNAMA