KUCHING: Sektor koperasi negara menunjukkan peningkatan dengan statistik bilangan koperasi sebanyak 15,315 buah beserta jumlah syer berjumlah RM16.99 bilion daripada 7.05 juta orang anggota.
Perkara itu diumumkan Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia Datuk Mohd Ali Mansor yang berkata peningkatan yang dicatat sehingga akhir Disember tahun lalu itu turut merekodkan pendapatan keseluruhan koperasi negara mencecah sebanyak RM38.49 bilion dan nilai aset berjumlah RM159.9 bilion
“Jika dibandingkan dengan tahun 2021, bilangan koperasi negara berjumlah 14,834 buah, keanggotaan tujuh juta orang, pendapatan koperasi RM3.7 bilion dan aset RM154.9 bilion.

“Ini menunjukkan ada sedikit peningkatan apabila kita membuat perbandingan dalam dua tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Program Turun Padang ke Arah Memasyarakatkan Koperasi (MASKOP) 2023 anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sarawak di sebuah hotel di Kuching, hari ini.
Berdasarkan pembahagian kluster pula, Ali memberitahu negara kini mempunyai sebanyak 268 buah koperasi kluster besar, 479 koperasi kluster sederhana, 1,289 kluster kecil dan 13,279 koperasi kluster mikro.
Sementara di Sarawak katanya, sebanyak 1,159 buah koperasi sehingga Disember 2022 sekali gus menunjukkan peningkatan berbanding 1,109 buah direkodkan pada Disember 2021.
“Koperasi juga mengalami peningkatan daripada 297,332 anggota pada tahun 2021 kepada 310, 178 anggota dengan kadar peningkatan sebanyak 4.48 peratus.
“Aset koperasi juga meningkat sebanyak 1.66 peratus menjadikan aset koperasi Sarawak RM647.45 juta,” tambahnya.
