KUCHING: Kedudukan kewangan Sarawak yang semakin kukuh dari hari ke hari menarik sektor perbankan tempatan untuk bekerjasama dengan Sarawak.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah bank tempatan yang mendekati Kerajaan Sarawak kebelakangan ini untuk bekerjasama dalam perdagangan membuktikan Sarawak mempunyai keupayaan mengurus kewangan dan merancang ekonomi.
“Ada lagi (bank) yang akan datang berjumpa saya… ini memberi petanda bahawa ekonomi Sarawak baik dan mampan,” katanya.
Bukan itu sahaja, tambah Abang Johari, beliau turut menerima jemputan untuk berkongsi aspek tadbir urus Sarawak.
Katanya, jemputan ini termasuk pada Sidang Kemuncak Perbankan dan Kewangan Malaysia Kelima 2023 di Kuala Lumpur.
“Dalam seminar berkenaan, peserta bertanya kepada saya bagaimana Sarawak boleh menjana hasil pendapatan yang tinggi malah mereka tidak meragui keupayaan kita untuk muncul sebagai kuasa ekonomi utama di Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kelab Penyokong GPS di sini.
Mengulas mengenai pendapatan Sarawak, Abang Johari mendedahkan pada suku pertama 2023, setakat April, Sarawak meraih pendapatan berjumlah RM5 bilion.
Berdasarkan angka suku pertama ini kata Abang Johari, beliau berharap menjelang akhir tahun, Sarawak dapat mengira angka pendapatan yang optimistik.
“Saya menjangkakan jumlah itu akan terus mengunjur bagi mencapai sasaran lebih RM11 bilion pada tahun ini.
“Implikasinya adalah jika kita mempunyai wang, kita boleh bercakap, kemudian boleh menyampaikan apa-apa yang rakyat mahukan.
Tahap keyakinan rakyat akan berada di sini kerana kita menyampaikannya. Yang penting, mesti tiada pergaduhan antara kita.
“Itu yang Sarawak capai, dan kita mesti jaga perpaduan kita di bawah GPS. Biar GPS jadi pelindung Sarawak,” ujarnya.
Turut hadir Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Speaker DUN Sarawak Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, Ketua Whip Dun GPS Datuk Ibrahim Baki dan Pengerusi Penganjur Malam Kelab Penyokong GPS, Lo Khere Chiang.