Kewujudan bangunan pentadbiran bersepadu Tanjung Manis mudahkan urusan penduduk setempat

KUCHING: Bangunan Pentadbiran Bersepadu Tanjung Manis yang siap dibina Disember tahun ini akan menjadi pusat pentadbiran sehenti yang menawarkan pelbagai perkhidmatan untuk memudahkan urusan penduduk di sekitar Tanjung Manis.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata pusat pentadbiran bernilai RM 78.2 juta ini mula dibina pada Mac 2018 akan menyediakan platform perkhidmatan yang mesra rakyat, pantas dan berkesan sejajar dengan aspirasi kerajaan.

Tambahnya, bangunan setinggi 16 tingkat itu bukan sahaja memperkasakan perkhidmatan antara kerajaan (G2G) dan antara kerajaan dan komuniti (G2C) malah menjadi tempat untuk rakyat mendapat pelbagai perkhidmatan dengan mudah di bawah satu bumbung.

Kata Len, pada ketika ini, penduduk-penduduk kampung terpaksa berulang alik ke Mukah, Sibu atau Sarikei jika hendak berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan.

“Justeru, bangunan mercu tanda pembangunan Bandar Baru Tanjung Manis ini merupakan lambang komitmen kerajaan untuk pembangunan berterusan di Tanjung Manis.

“Dengan siapnya projek ini yang akan dijadikan pusat pentadbiran sehenti bagi Daerah Tanjung Manis di mana semua pejabat kerajaan dan badan berkanun yang terdapat di Tanjung Manis akan ditempatkan dalam bangunan ini,” jelasnya dalam satu temu bual di pejabatnya di Wisma Sumber Alam, di sini hari ini.

Suara Sarawak