KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu melantik bank-bank komersial sebagai pihak yang menyalurkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) kepada murid-murid sekolah di seluruh negara.
Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) Zulkiflee Sebli berkata, ia bagi mengelakkan berlakunya sebarang kejadian tidak diingini terutamanya risiko sekolah dipecah masuk dan disamun.
“KGBS bersyukur atas bantuan yang diberikan kerajaan tetapi agak terkilan kerana pihak sekolah dan guru-guru dibebankan dengan tanggungjawab serta risiko dalam menyalurkan BAP ini setiap tahun.
“Dengan jumlah yang besar melibatkan wang tunai beratus ribu, guru-guru berdepan dengan risiko keselamatan apabila berurusan dengan pihak bank dan juga sewaktu mengagihkan bantuan berkenaan.
“Malah, jumlah wang tunai yang banyak terpaksa disimpan di dalam peti besi sekolah akan menambah risiko sekolah dipecah masuk dan juga samun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kes guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Kg. Rinching, Beranang, Semenyih yang disamun pada Isnin selepas mengeluarkan sejumlah RM109,000 wang BAP untuk diagihkan kepada murid-murid sekolah terbabit.
“Kita tidak mahu kes sebegini berlaku lagi. Risiko untuk guru dirompak dan kehilangan nyawa sewaktu mengeluarkan wang BAP atau mana-mana bantuan yang melibatkan wang tunai pasti sangat tinggi.
“Walaupun ada prosedur operasi standard (SOP) pengeluaran yang diberi oleh KPM, ia tetap memberi risiko tinggi kepada kami.
“Justeru, diharap dengan melantik bank-bank ini, bantuan tunai dapat diagihkan terus melalui akaun-akaun bank ibu bapa atau penjaga murid-murid,” jelasnya.
Tegasnya, inisiatif itu sekali gus dapat mengurangkan risiko wang dirompak selain mengurangkan bebanan tugas guru.
“KGBS berharap kerajaan dan KPM dapat menimbang cadangan ini agar jenayah seumpamanya tidak berlaku lagi,” ujarnya.