KGBS setuju PdP bersemuka melibatkan calon peperiksaan

KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menyokong penangguhan sesi persekolahan yang dijadual pada 20 Januari ini.
Presiden KGBS, Ahmad Malie berkata penangguhan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bersemuka itu merupakan sebahagian daripada rayuan kesatuan-kesatuan guru di Sarawak memandangkan perkembangan semasa Covid-19 di negeri ini yang agak merisaukan guru serta ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
“KGBS amat bersyukur dengan pengumuman ini kerana ia dapat mengurangkan kerisauan ibu bapa mengenai pengoperasian persekolahan yang akan bermula pada 20 Januari ini.
“KGBS percaya tindakan untuk menangguh PdP bersemuka bagi murid sekolah rendah dan menengah yang bukan menduduki peperiksaan akan memudahkan pihak sekolah mengendalikan peperiksaan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan lebih baik di samping memastikan keadaan lebih terkawal,” katanya yang dihubungi, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad berkata KGBS turut menyokong keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung sesi PdP bersemuka hanya melibatkan pelajar Tingkatan 5 dan Tingkatan 6 yang menduduki peperiksaan bagi tahun 2020.
Jelasnya, kesatuan yakin situasi tersebut dapat mengurangkan kesesakan calon peperiksaan sepanjang tempoh peperiksaaan berlangsung demi memastikan semua pihak yang terlibat dalam keadaan terkawal.
“KGBS mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak, KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak yang sentiasa peka dan prihatin dengan kebajikan warga pendidikan dan juga masyarakat umum dalam berdepan cabaran pandemik Covid-19 ini,” katanya.
Namun pada masa sama, Ahmad berkata KGBS tetap menaruh keyakinan dengan pengalaman Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang pernah dilalui oleh guru sebelum ini.
Jelas beliau, guru dapat melaksanakan tugas mereka secara PdPR dengan terbaik mengikut kemampuan serta keupayaan yang ada di lokasi mereka berada.
“Melalui kaedah PdPR ini, KGBS turut mengharapkan ibu bapa atau penjaga agar dapat memahami situasi sebegini dan terus memberi kerjasama serta sokongan  yang mantap kepada  warga guru demi memastikan anak-anak mereka tidak tercicir untuk menerima pendidikan dengan sewajarnya,” katanya.
Tamat.