KUCHING: Ingin membela nasib rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut menjadi azam utama Calon Bebas, Khairul Datuk Amat bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12.
Menurutnya, pentas ini (arena politik) menjadi peluang besar dirinya sebagai anak jati dari Kampung Tabuan Melayu dalam membawa perubahan besar serta membela nasib rakyat di N5, Demak Laut.
Selain itu katanya, beliau yakin sekiranya diberikan mandat untuk menjadi wakil rakyat, akan memastikan suara rakyat tidak akan terpinggir sama sekali.
“Saya menerima aduan daripada penduduk kampung, walaupun Demak Laut di dalam bandar Kuching, tapi bila melihat keadaan di kawasan pinggir bandar membuatkan saya betul-betul berniat untuk membela rakyat di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di Kuching Isnin lalu.
Ditanya mengenai jentera kempen, katanya, kebanyakan aktiviti hanya dilakukan berdasarkan media sosial berikutan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat.
Namun jelas beliau, aktiviti berkempen telah dijalankan sebelum hari penamaan dan rata-rata penduduk memberikan respon bagus sepanjang beliau hadir ke kampung-kampung.
“Setakat ini mereka menunjukkan penerimaan yang bagus. Boleh dikatakan hampir 60 peratus penduduk menyokong kerana mereka mahukan perubahan yang lebih menyerlah terhadap kawasan mereka.
Dalam pada itu, beliau turut menggariskan lapan manifesto yang akan ditunaikan sekiranya diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat DUN Demak Laut.
Pertama ialah meningkatkan kemajuan ekonomi rakyat melalui program latihan mentor, membasmi kemiskinan tegar melalui program pendidikan, memberi kemudahan dan sumbangan kepada aktiviti pertanian, penternakan, dan nelayan.
Keempat menggalakkan aktiviti sukan, seni dan kebudayaan, mengimarahkan aktiviti keagamaan untuk kesejahteraan dan keharmonian rakyat, menambah dan memperbaiki kemudahan awam, memperkasakan pembagunan dan kewibawaan golongan muda, menghormati pendirian dan sumbangan golongan tua dan wanita.
Khairul, 38, merupakan seorang ahli perniagaan, dan mempunyai pendidikan tertinggi dalam bidang Master Pengurusan.