ARTIKEL

Kredit: BERNAMA

Khazanah, CGC Digital akan labur dalam platform Funding Societies

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd dan CGC Digital Sdn Bhd membuat pelaburan ke dalam platform pembiayaan digital syarikat kecil dan sederhana bersepadu terbesar Asia Tenggara, Funding Societies | Modalku (Funding Societies), untuk meluaskan akses pembiayaan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Susulan pelaburan tersebut,  Funding Societies menyasar mengembangkan liputannya di Malaysia di luar dari kawasan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor, dengan sasaran menyediakan perkhidmatan kepada lebih 25,000 PMKS di seluruh negara menjelang akhir 2025.

“Selain itu, platform tersebut juga merancang untuk meluaskan capaian penyelesaian pembiayaan Islamnya yang diperkenalkan di Malaysia tahun lepas,” kata syarikat-syarikat tersebut dalam satu kenyataan bersama semalam.

Sejak pelancarannya pada Mei 2023, Funding Societies telah mengeluarkan pembiayaan patuh Syariah berjumlah lebih RM100 juta di Malaysia.

Keseluruhannya, platform kewangan digital itu telah mengagihkan pembiayaan perniagaan berjumlah lebih US$3.5 bilion (RM16 billion) menerusi lima juta urus niaga, yang memberi impak positif kepada lebih 100,000 perniagaan di lima pasarannya di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Vietnam.

“Dalam konteks Malaysia, Funding Societies menyasar merapatkan jurang pembiayaan berjumlah RM90 billion (US$19 billion) bagi PMKS.” katanya.

Pengarah Urusan Khazanah Datuk Amirul Feisal Wan Zahir berkata sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia dan menyumbang hampir separuh daripada pekerjaan negara, peranan PMKS sangat penting namun tidak atau kurang mendapat pembiayaan.

“Oleh itu, pelaburan ini selari dengan misi kami untuk menyumbang kepada pembinaan negara dan pertumbuhan sosioekonomi,” katanya.

Pelaburan Khazanah itu adalah di bawah mandat Dana Impaknya, tonggak asas di bawah strategi Memajukan Malaysia dana pelaburan negara tersebut. 

Dengan pelaburan Dana Impak, Funding Societies akan menyasarkan mengagihkan lebih 50 peratus daripada pengeluaran pinjaman tahunannya daripada pembiayaan patuh Syariah menjelang 2025, sejajar dengan aspirasi untuk menyokong pertumbuhan PMKS Bumiputera.

Ketua Pegawai Eksekutif CGC Digital, Yushida Husin berkata, syarikat itu berusaha untuk mencuba sesuatu yang baharu dengan membangunkan produk jaminan digital yang inovatif untuk PMKS yang tiada sejarah kredit yang boleh ditawarkan bersama-sama dengan produk pembiayaan Funding Societies untuk meningkatkan peluang mereka memperoleh pembiayaan yang amat diperlukan.

Pelaburan itu juga adalah susulan daripada kejayaan kerjasama CGC Digital dengan Funding Societies sebelum ini untuk membangunkan produk jaminan baharu menerusi program rintis.

Produk itu menyediakan jaminan Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd pada peringkat transaksi pembiayaan rantaian bekalan digital Funding Societies, yang menyokong secara langsung aktiviti perniagaan PMKS dan memajukan rangkuman kewangan.

Pengasas bersama dan ketua pegawai eksekutif kumpulan Funding Societies Kelvin Teo berkata walaupun PMKS mewakili 97 daripada perniagaan di Malaysia dan menyumbang 38 peratus kepada keluaran dalam negara kasar negara, kumpulan ini masih berdepan cabaran besar untuk mendapatkan pembiayaan.

“Di sinilah peluang Funding Societies untuk menyediakan perkhidmatan bagi menangani cabaran dan keperluan pengurusan tunai PMKS dengan capaian meluas kami dan pelbagai penyelesaian pembiayaan jangka pendek,” kata Teo. – BERNAMA

LAIN-LAIN BERITA

Ekonomi Malaysia dijangka lebih baik

Prestasi ekonomi Malaysia dijangka lebih baik pada masa depan, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan dan pasaran buruh yang stabil, kata Jabatan Perangkaan (DOSM).

MPP perkenalkan inisiatif ‘Fast Lane’

KUCHING: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) memperkenalkan inisiatif ‘Fast Lane’ yang bertujuan menarik lebih banyak pembangunan perindustrian dan komersial ke kawasan di bawah bidang kuasanya. Menurut

BERITA TERBARU