Khianati kepercayaan rakyat Sarawak

KUCHING: Ahli Parlimen Sarawak yang berdiri dan cuba menyatakan undi belah bahagi ketika pembentangan Belanjawan 2021 merupakan pengkhianat rakyat negeri ini.

Naib Presiden Parti PBB Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, belanjawan negara dirancang oleh Kerajaan Persekutuan untuk membantu rakyat dalam krisis pandemik Covid-19.

“Sekiranya benar bahawa Ahli Parlimen Selangau Baru Bian dan Ahli Parlimen Mas Gading Mordi Bimol antara yang keberatan dengan belanjawan tersebut, mereka sebenarnya mengkhianati Sarawak dan pengundi di kawasan yang memilih mereka.

“Belanjawan itu berpaksikan rakyat yang dirancang untuk membantu terutama bumiputera, kurang berkemampuan dan penduduk luar bandar untuk melalui keadaan mencabar ini,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai 13 Ahli Parlimen bukan kerajaan yang bangun untuk menolak Belanjawan 2021 dan undi belah bahagi.

Daripada jumlah tersebut, dilaporkan dua daripadanya merupakan Baru Bian (PBS) dan Mordi Bimol (DAP).

Ahli Parlimen yang lain ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir serta ahli Parlimen daripada Parti Pejuang lain diikuti Ahli Parlimen Amanah yang diketuai Presidennya Mohamad Sabu.

Sementara Ahli Parlimen pembangkang yang lain tidak berdiri dan menyatakan undi belah bahagi usul belanjawan tersebut.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Abdul Karim menyifatkan mungkin mereka mempunyai pandangan sangat peribadi terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.