Khidmat bas hidrogen disambung selepas PKP

KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) akan menyambung semula perkhidmatan percubaan bas hidrogen di bandar raya ini sekurangkurangnya dua tahun lagi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat, sebelum memulakan operasi komersial.

Pengerusi SEDC Tan Sri Datuk Amar Dr Abdul Aziz Husain berkata, perkhidmatan percubaan bas hidrogen kini ditangguhkan buat sementara waktu sejak 18 Mac lalu bagi mematuhi PKP ekoran Covid-19.

Pada masa sama, katanya kerja penyelenggaraan berjadual tidak dapat dijalankan oleh pihak pengeluar berpangkalan di China, Foshan Feichi Automobile Co., Ltd. (Feichi) disebabkan sekatan perjalanan.

“Pasukan penyelenggaraan dari China sudah bersedia untuk datang setelah sekatan perjalanan dihentikan.

“Malangnya pasukan penyelenggaraan kami juga tidak dapat menamatkan latihan kerana sekatan perjalanan masuk dan keluar dari China.

“Pada masa sama, bas masih dalam tempoh waranti dan kami tidak mahu sembarangan kerana ini akan membatalkan waranti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pending Violet Yong yang meminta SEDC menjelaskan mengenai perkembangan penyelenggaraan tiga bas hidrogen yang dimiliki kerajaan Sarawak.

Aziz menegaskan, bas hidrogen adalah lebih cekap dan dalam jangka masa panjang lebih ekonomik daripada bas bateri atau diesel, selain tidak menghasilkan pelepasan berbahaya kerana produk sampingannya hanyalah air.

Malah, katanya sebilangan besar negara mahu menukar bas mereka kepada hidrogen.

Korea dan China misalnya akan memulakan pengeluaran kenderaan sel bahan bakar hidrogen termasuk bas dan trak.

“Sudah tentu kos pemasangan infrastruktur H2 akan kelihatan mahal tetapi ia akan memberi faedah dalam jangka masa panjang.

“Kenderaan hidrogen tidak mengeluarkan gas rumah hijau tetapi lebih bersih, lebih senyap dan lebih murah untuk diselenggara kerana terdapat bahagian yang kurang bergerak dalam sistemnya,” katanya.

Aziz menambah sejak bas hidrogen diperkenalkan di Kuching, pihaknya telah menerima banyak sokongan yang kebanyakan memuji usaha dilakukan oleh Kerajaan Sarawak kerana melakukan langkah berani.

Suara Sarawak