KAPIT: Susulan Bandar Sibu telah dikategorikan sebagai zon kuning penularan wabak Covid-19 oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), semua perkhidmatan bos ekspres bagi laluan Sibu-Song-Kapit masih ditangguh.
Jurucakap Lembaga Sungai -sungai Sarawak (LSS) Bahagian Kapit berkata, penangguhan itu dilakukan susulan Bandar Sibu masih dikategorikan sebagai zon kuning.
“Operasi bot ekspres bagi laluan Sibu-Song-Kapit masih ditangguhkan sehingga dimaklumkan kemudian,” katanya di sini, semalam.
Bagaimanapun beliau berkata, perkhidmatan bot ekpres untuk semua laluan di Bahagian Kapit sudah kembali beroperasi seperti biasa sejak 13 Mei lalu.
Ia jelasnya, untuk laluan melibatkan Kapit-Nanga Gaat-Putai, Kapit-Pelagus dan Kapit-Belaga.
“Kesemua bot ekspres yang beroperasi bagaimanapun perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.
“Antara SOP ditetapkan ialah penumpang wajib memakai pelitup muka, selain duduk berjauhan mengikut jarak ditentukan.
“Penumpang juga perlu menjalani pemeriksaan suhu sebelum menaiki bot ekspres dan tidak dibenarkan berhenti di mana-mana sepanjang perjalanan,” tambahnya.
Ditanya adakah perkhidmatannya sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tamat pada 9 Jun kelak, beliau memberitahu, ia masih belum pasti lagi.
“Ia terpulang kepada pihak kementerian berkaitan. Kami hanya mengikut arahan,” jelasnya lagi.