Khidmat hantar ikan ke pintu rumah

KUCHING: Persatuan Nelayan Kawasan Sri Muara (PNKSM) menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan laut kepada pelanggan berdekatan.

Pengurus Besar PNKSM Kartini Bujang berkata, mereka mengambil hasil tangkapan laut daripada nelayan di kampung-kampung berhampiran untuk tujuan menjual semula. “Nelayan akan menghantar hasil tangkapan mereka ke pusat pengumpulan untuk memudahkan urusan kami,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di Agrobazaar Rakyat PNKSM di sini, kelmarin.

Tambahnya, sambutan pelanggan terhadap perkhidmatan penghantaran sepanjang PKP ini amat menggalakkan. “Kami menyediakan perkhidmatan tersebut untuk pelanggan di sekitar Kuching dan akan menghantar dalam jarak 15 km dari kedai sahaja.

Bayaran penghantaran dikenakan sekitar RM3 hingga RM5. “Selain itu, kami juga menyediakan perkhidmatan menyiang ikan seperti membuang perut, membuang kepala ikan dan lain-lain sebelum dihantar kepada pelanggan,” jelasnya.

Kartini menyatakan, beliau membuat pengiklanan promosi penghantaran tersebut melalui Facebook dan aplikasi WhatsApp.

“Kami juga merupakan pembekal makanan laut seperti ikan kepada mereka yang membuat penghantaran kepada pelanggan. “Selain itu, Agrobazaar Rakyat PNKSM juga menjual kraf tangan daripada komuniti Penan ter

masuk keperluan asas yang lain,” jelasnya. Sebelum itu, mereka telah menerima kunjungan Menteri Muda Pertanian Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.

Menurut Kartini, lawatan tersebut berhubung dengan pemberian bantuan RM30,000 kepada semua PNK di Sarawak. “Setiap PNK akan dapat RM30,000 untuk tujuan pembelian hasil laut daripada nelayan, kami mengucapkan ribuan terima kasih atas bantuan yang diberikan ini.

“Beliau juga telah meninjau aktiviti kami di sini dan berpuas hati dengan perkhidmatan dan apa yang kami sediakan di sini,” ujarnya lagi.

Dalam hal berkaitan, ketika beroperasi sepanjang tempoh PKP, Kartini berkata, pihaknya mengamalkan saranan KKM dengan menjaga jarak sosial dan melakukan sanitasi tiga jam sekali. Untuk rekod, PNK merupakan pertubuhan di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).